HEADLINES

Persatuan peniaga persoal tindakan DBKL batalkan lesen penjaja di Zon D, Taman Tasik Titiwangsa

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Taman Tasik Titiwangsa (PPPKTT) mempersoalkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang enggan menyambung lesen 15 penjaja di Tapak Penjaja Zon D, Taman Tasik Titiwangsa, di sini, sedangkan mereka tidak pernah ingkar dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Penaung dan penasihat PPPKTT, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata ia merupakan sumber utama pendapatan penjaja terbabit yang berniaga makanan, minuman, permainan kanak-kanak dan perkhidmatan sewaan basikal.

“1 September ini genap empat tahun persatuan menjadi pemegang lesen yang sah dan sepanjang tempoh itu, peniaga-peniaga ini sentiasa akur dan mengikut segala peraturan serta SOP yang ditetapkan.

“Tindakan DBKL ini sangat memberi kesan kepada ekonomi dan menjejaskan satu-satunya punca pendapatan peniaga-peniaga yang merupakan peniaga kecil-kecilan sepenuh masa,’’ katanya kepada Scoop.

Gulam Muszaffar turut mempersoalkan adakah itu balasan DBKL kepada pemegang lesen yang sentiasa mematuhi syarat dan peraturan selama ini dengan membatalkan lesen mereka.

Beliau juga menafikan dakwaan peniaga berlesen ini menjadi punca lambakan peniaga haram di kawasan terbabit sehingga memaksa DBKL membuat keputusan menutup tapak perniagaan Zon D yang selama ini sentiasa menjadi tumpuan pengunjung di Taman Tasik Titiwangsa.

“Kami ingin menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan semua peniaga di bawah persatuan ini hanya membuka perniagaan pada tapak yang dibenarkan oleh DBKL.

“Pembatalan atau penutupan Tapak Penjaja Zon D tidak dapat menghentikan lambakan peniaga tanpa lesen yang kini semakin berleluasa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PPPKTT, Ahmad Zamree Fauzi pula menyatakan sehingga kini pihak persatuan masih belum menerima maklum balas daripada DBKL walaupun perbincangan sudah diadakan pada 18 Julai lalu.

Menurutnya, semua 15 peniaga tersebut masih ternanti-nanti sama ada lesen mereka akan disambung apatah lagi ia merupakan punca rezeki utama bagi menyara keluarga masing-masing.

“Banyak usaha dan tindakan dibuat pihak persatuan seperti menghantar surat rayuan dan memorandum bantahan kepada DBKL.

“Malah kami telah dipanggil untuk Mesyuarat Penyelarasan bersama pihak DBKL, Majlis Perwakilan Penduduk Setiawangsa dan Persatuan Penduduk Titiwangsa pada 18 Julai lalu.

“Namun, perkara ini seolah-olah tidak diberi perhatian khusus dan sehingga sekarang kami masih belum mendapat apa-apa jawapan (daripada DBKL),” katanya. – 30 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related