◉ HEADLINES

MAB kurangkan lebih 95,000 tempat duduk bagi penerbangan ke Sabah, Sarawak dan Labuan

Punca pembatalan penerbangan disebabkan muatan rendah (poor loads), kekurangan anak kapal, ketibaan lewat pesawat, putaran pesawat, cuaca, kawalan trafik udara dan masalah teknikal seperti Aircraft On Ground (AOG)

2:45 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Berhad (MAB) telah mengurangkan 95,906 tempat duduk bagi penerbangan laluan ke Sabah, Sarawak dan Labuan bermula Ogos hingga Disember tahun ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Bagaimanapun, beliau berkata syarikat penerbangan AirAsia, AirAsia X dan Batik Air telah menambah kapasiti 139,578 tempat duduk bagi menampung kekurangan itu.

Bagi Oktober ini sahaja katanya syarikat-syarikat penerbangan negara telah menyediakan perkhidmatan penerbangan domestik ke Sabah, Sarawak dan Labuan melibatkan 1.42 juta tempat duduk.

“Pembatalan sementara bagi penerbangan yang terjejas dari Ogos hingga Disember 2024 sudah dimaklumkan kepada penumpang dan segala proses pemakluman itu kebanyakannya telah selesai.

“Kini, MAB beroperasi seperti biasa dan hanya membatalkan penerbangan apabila berlaku force majeur iaitu apabila keperluan membatalkan penerbangan jika ia melibatkan keselamatan berpunca cuaca buruk atau nasihat daripada penguat kuasa penerbangan tempatan dan antarabangsa di antara laluan udara tertentu,”  katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai kesan pengurangan penerbangan Malaysia Airlines kepada pengguna dan alternatif yang disediakan serta pemantauan bagi memastikan kos tiket penerbangan tidak membebankan pengguna khususnya penduduk Sabah dan Sarawak.

Hasbi berkata punca pembatalan penerbangan disebabkan komersial seperti muatan rendah (poor loads), masalah operasi syarikat penerbangan seperti kekurangan anak kapal, ketibaan lewat pesawat, putaran pesawat (aircraft rotation), keadaan luar biasa seperti cuaca, kawalan trafik udara dan masalah teknikal seperti Aircraft On Ground (AOG).

Bagi pengguna yang terjejas akibat pembatalan penerbangan Malaysia Airlines, Hasbi berkata peruntukan semula ditawarkan kepada mana-mana penerbangan Malaysia Airlines yang tersedia dan sekiranya tiada, maka tiket baharu menggunakan syarikat penerbangan lain akan disediakan.

“Setelah penumpang dimaklumkan tentang pelan peruntukan semula berkenaan, penumpang masih mempunyai pilihan sama ada untuk menerima, mengubah suai atau meminta bayaran balik,” katanya.

Mengenai harga tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah, Sarawak dan Labuan, Hasbi berkata kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti yang layak di bawah FlySiswa.

Selain itu, penetapan harga maksimum tiket penerbangan ekonomi sehala sebanyak RM599 tiga hari sebelum perayaan utama turut diperkenalkan dengan kerajaan membayar perbezaan antara harga asal tiket penerbangan dan harga maksimum.

Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Sept lepas juga bersetuju supaya FlySiswa dan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan ke Sabah, Sarawak dan Labuan sempena musim perayaan yang diluluskan di bawah Belanjawan 2024, dijadikan inisiatif tahunan Kementerian Pengangkutan. – 28 Oktober, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Malaysia Airlines, SIA join rush to cancel Middle East flights as Iran-US-Israel strikes escalate

More countries announce airspace closures as carriers suspend flights on Feb 28 and March 1, passengers reminded to check for updates on subsequent flights

Melaka schools to reopen on Oct 12 as API readings fall below 100

Air quality readings at all three monitoring stations in the state remain in the moderate range, with parents advised to monitor their children's health

◉ Related