HEADLINES

Mimpi bukan dalil syarak, tak boleh jadi hujah tetapkan hukum : Pengerusi MKI

Nooh Gadut menjelaskan, hanya mimpi para Nabi dan Rasul sahaja merupakan mimpi yang benar yang boleh dijadikan sumber hukum serta merupakan hujah syarak

7:58 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mimpi bukan dalil syarak dan tidak boleh dijadikan hujah untuk menetapkan sesuatu hukum syarak sama ada halal, wajib atau haram, kata Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Datuk Nooh Gadut menjelaskan, hanya mimpi para Nabi dan Rasul sahaja merupakan mimpi yang benar yang boleh dijadikan sumber hukum serta merupakan hujah syarak.

“Ini kerana mereka dilindungi Allah SWT (para Rasul serta Nabi adalah maksum).

“Mimpi orang Islam ada tiga peringkat, peringkat pertama bisikan jiwa, yang kedua godaan syaitan dan yang ketiga ialah mimpi khabar gembira dari Allah SWT. Maka, berbahagialah mereka yang memperoleh mimpi yang ketiga ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Nooh berkata, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-36 pada 15 Disember 1994 telah membincangkan Mimpi Dari Perspektif Islam.

Beliau berkata, Muzakarah telah memutuskan bahawa mimpi seorang nabi dan rasul adalah wahyu yang menjadi hukum adalah benar.


“Mimpi orang ramai di zaman Rasulullah SAW seperti melihat Baginda dalam tidur menyamai melihat Rasulullah SAW dalam masa jaga adalah khusus di zaman semasa Baginda masIh hidup.

“Mimpi orang Islam selepas wafat Rasulullah SAW maka ia akan berjumpa di akhirat nanti dan akan mendapat syafaat Rasulullah SAW.

“Mimpi orang Islam ada tiga peringkat, peringkat pertama bisikan jiwa, yang kedua godaan syaitan dan yang ketiga ialah mimpi khabar gembira dari Allah SWT. Mimpi orang bukan Islam adalah ditolak.

“Mimpi orang awam bukan hujah terhadap satu hukum atau berita atau satu kenyataan,” katanya.

Tambah beliau, tafsiran dan takwil mimpi merupakan satu ilmu yang muktabar, yang mempunyai kaedah dan asal-usulnya tersendiri.

“Sumber-sumbernya adalah berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan juga qias dan tasybih bagi ayat-ayat al-Quran. la juga dinamakan sebagai ilm al-Ta’bir dan ilm al-Takwil.

“la tidak boleh dipelajari oleh sembarangan orang kecuali golongan yang diberikan kelebihan, keistimewaan, keilmuan, hikmah dan basirah (pandangan mata hati) oleh Allah SWT untuk mengetahui rahsia-rahsianya,” katanya.

Nooh berkata, terdapat 12 Dhawabit (kriteria) atau syarat mempercayai takwil atau tafsir mimpi antaranya, tidak beriktikad, meyakini dan mempercayai bahawa takwilan dan tafsiran itu seratus-peratus benar.

“Ini kerana mimpi tidak mengisbatkan apa-apa dan hanya bersifat dzanniyyah (bukan qatiyah). Di samping itu, hendaklah dia meyakini bahawa urusan seseorang itu di bawah kekuasaan mutlak Allah SWT yang melakukan apa sahaja mengikut kehendak-Nya.

“Seterusnya, hendaklah takwilan dan tafsiran mimpi tersebut tidak bertentangan dengan akidah Islam, syariah Islam dan akhlak Islam serta tidak melanggar hukum-hakam Allah SWT yang telah sabit dengan dalil-dalil syarak.

“Tidak mengandungi pesanan atau arahan baru yang menyalahi akidah, syariah dan akhlak. Allah SWT telah menyempurnakan ajaran Islam dan tiada nabi baharu, tiada syariat baharu atau hukum-hakam yang boleh ditokok-tambah selepas kewafatan baginda Rasulullah SAW.

“Tidak membawa kepada fanatik dan ketaasuban,” katanya.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau telah meminta Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah untuk memberikan penjelasan dan pencerahan kepada masyarakat berkaitan dengan isu mimpi Rasulullah SAW.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial video Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa bermimpi bertemu Rasulullah di masjid kawasan Parlimennya di Pantai Timur.

Dalam kenyataan susulan, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan tiada paksaan bagi mana-mana pihak untuk mempercayai pendedahan Abdul Hadi yang tular di media sosial itu.

“Apabila Tuan Guru menceritakan mimpinya bertemu Rasulullah, terserahlah sama ada mahu percaya atau tidak, tiada siapa yang memaksa.

“Adapun kami sebagai ‘anak-anak beliau’ di dalam PAS, kami memilih untuk percaya, apa yang anda hendak kalut? Kami faham, ia diceritakan sebagai satu perkongsian ‘keluarga’.

“Ia bukan diangkat untuk tujuan memuja diri sendiri,” katanya.

Tambah beliau, mimpi Presiden parti itu boleh dijadikan hujah kerana tidak bertentangan syarak. – 6 November, 2024

Topics

 

Hangat

Malaysia breaks 11-year losing streak against Vietnam with impressive 4-0 victory

The national team showed effective teamwork and fast-paced plays that kept their opponents under pressure

FAM at 99: a journey from colonial roots to Malaysia’s football milestones

The Football Association of Malaysia (FAM) marks its 99th anniversary today, tracing a journey from its colonial-era beginnings in 1926 to becoming the custodian of Malaysian football

Malaysia nears eradication of hardcore poverty as average household income hits RM9,155

With the poverty rate now at just 0.09%, government initiatives show promising progress, while efforts to enhance social mobility and living standards continue

Related