HEADLINES

PAGE cadang KPM sedia tarikh alternatif, set soalan lain kepada pelajar terjejas banjir

Cadangan itu dilontarkan sekiranya KPM merasakan menukar tarikh peperiksaan adalah terlalu besar dan mahal untuk dilakukan semata-mata untuk sebahagian kecil pihak

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) wajar menimbang menyediakan tarikh alternatif serta set soalan yang berlainan kepada pelajar yang terjejas dengan banjir namun perlu menduduki peperiksaan besar.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, cadangan itu dilontarkan sekiranya KPM merasakan menukar tarikh peperiksaan sebagai satu keputusan yang terlalu besar untuk dilakukan semata-mata untuk sebahagian kecil pihak.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, KPM sewajarnya menimbang penyediaan tarikh lain bagi pelajar yang terjejas banjir buruk tahun ini. – Gambar fail Scoop, 3 Disember, 2024

“Persediaan untuk penubuhan pusat peperiksaan SPM adalah satu yang besar dan tidak semudahnya boleh diubah dengan cepat. Ia adalah urusan yang mahal.

“Bagaimanapun keutamaan harus diberikan kepada kesejahteraan pelajar yang menduduki peperiksaan utama ini terutamanya mereka yang dilanda banjir.

“Segala usaha mesti dilakukan untuk memastikan tiada seorang pun pelajar dihalang peluang yang sama untuk melakukan yang terbaik,” katanya kepada Scoop hari ini.

Beliau berkata, KPM sewajarnya menimbang penyediaan tarikh lain bagi pelajar yang terjejas banjir buruk tahun ini.

“Jika menukar tarikh peperiksaan adalah sesuatu yang terlalu besar untuk menampung minoriti maka tarikh alternatif dengan set penilaian lain daripada bank soalan adalah kemungkinan untuk dipertimbangkan.

“Terutama bagi mereka (pelajar) yang terjejas teruk oleh air banjir yang mana tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, ramai pihak menggesa KPM mempertimbangkan penangguhan peperiksaan SPM susulan cuaca buruk dan banjir yang melanda negara ketika ini.

Permintaan itu disuarakan pelbagai pihak yang bimbang kesan buruk terhadap calon SPM yang terjejas terutamanya di kawasan Pantai Timur, baik dari segi fizikal mahupun mental.

Namun, KPM hari ini memutuskan peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak perlu ditangguh atau ditunda kerana kementerian itu mempunyai mekanisme lengkap menangani isu pelajar terkesan banjir pada musim monsun timur laut.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata, melalui prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung, KPM yakin isu pelajar menduduki peperiksaan ketika banjir dapat diuruskan dengan baik.

Menterinya, Fadhlina Sidek pula berkata, KPM dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah berusaha memastikan tiada calon yang tercicir untuk menduduki ujian lisan SPM hari ini.

Beliau berkata, keputusan sukar terpaksa diambil setelah mengambilkira kesan dan impak rantaian yang bakal tercetus jika peperiksaan SPM ditangguhkan.

Katanya, kementeriannya akan mempertimbangkan cadangan peperiksaan SPM dilaksanakan di luar musim tengkujuh. – 3 Disember 2024

Topics

 

Hangat

Tell agencies to stop using ‘kuil haram’ term, Saravanan urges Anwar

MIC leader says term is hurtful and historically inaccurate, calls for respect towards Hindu places of worship

UNHCR resettlement performance too low, contributing to refugee backlog: Saifuddin

Home Minister calls public concerns valid, says imbalance affects national security and social management

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Related