HEADLINES

Himpunan solidariti Najib: Umno persoal kenapa baru sekarang PAS tunjuk sokongan

Mereka bukannya peduli fasal kes Bossku (Najib) tetapi mereka lebih nampak ini peluang untuk melobi dan meraih keuntungan politik

7:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Ghulam Muzaffar Gulam Mustakim mempersoal tindakan dan sokongan ‘mengejut’ PAS yang mahu menegakkan keadilan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan menganjurkan Himpunan Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ pada 6 Januari ini.

Bercakap kepada Scoop, Ghulam Muzaffar yang juga Ketua Umno Bahagian Batu berkata, tindakan PAS itu dilihat seolah ingin menggunakan peluang dan kesempatan kes melibatkan Najib untuk kepentingan politik mereka semata-mata.

“Saya bukan tidak bersetuju dengan sokongan daripada mereka (PAS) tetapi soalnya kenapa baru sekarang?

“Daripada apa yang tersirat dan tersurat, mereka bukannya peduli fasal kes Bossku (Najib) tetapi mereka lebih nampak ini peluang untuk melobi dan meraih keuntungan politik dengan senario yang sedang berlaku.

“Agak pelik bila mana parti PAS dan Bersatu mengeluarkan kenyataan seolah-olah merekalah terpaling berjuang dan bersama dengan Bossku dalam kes mahkamahnya, bukankah ada sebahagian daripada mereka yang beriya-iya dan bersekongkol inginkan Bossku dipenjarakan selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14),” katanya.

Gulam Muzaffar menyifatkan tindakan itu ibarat ‘cencaru makan petang’ yang mana ingin mencari kejayaan dan mendapat kredit di saat akhir atas usaha UMNO terutama Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bertungkus-lumus mengeluarkan afidavit menyatakan sokongan terhadap Najib.

“Istilah bahasa pasar ibarat nak curi atau mendapatkan kredit (mendapatkan pujian atas usaha orang lain)… daripada sudut politik, mereka merasakan rugi sekiranya menjauhkan diri (tidak terlibat) dengan kes Bossku kerana Bossku masih ada nilai politik yang sangat tinggi di mata dan hati majoriti rakyat Malaysia.

“Keikhlasan mereka boleh dipersoalkan. Sejarah telah membuktikan ketika krisis Covid-19, mereka inilah yang telah menggantung Parlimen sekali gus mematikan amalan demokrasi dalam negara kita demi kuasa.

“Kini menunggang pula kes Bossku… cukup-cukuplah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan PAS akan mengadakan himpunan solidariti itu di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan bekas perdana menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang Di-pertuan Agong (YDPA) terdahulu.

Dalam surat bertarikh 28 Disember lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menggesa ahli parti itu menghadiri perhimpunan itu ‘demi menunjukkan suatu isyarat nyata kepada kerajaan Madani tentang keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang dituntut rakyat’.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah. – 30 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

[WATCH] GP fee hike may finally end clinic medicine markups: Dr Thirunavukarasu

Malaysian Medical Association president says decades of suppressed consultation rates forced clinics to rely on medicine sales — but warns patients will still bear rising healthcare costs despite long-overdue reforms

Right-wing commentator Ian Miles Cheong under police scrutiny

According to authorities, investigation focuses on alleged social media posts that could incite public unrest

Related