HEADLINES

Hadkan tempoh jawatan PM belakangi ketetapan Allah: Hadi

Hadi berkata tanggungjawab tersebut merupakan amanah yang besar daripada Allah

2:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan cadangan DAP supaya tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan selama 10 tahun sebagai membelakangi ketetapan Allah.

Beliau berkata, ramai yang berlumba-lumba menyokong idea itu namun lupa atau tidak mempedulikan dasar lebih penting bagi mencapai wawasan dunia dan akhirat, yang mewajibkan Islam memimpin negara.

“Hal ini demikian kerana, tanggungjawab tersebut merupakan amanah yang besar daripada Allah.

“Bukan sekadar membahagikan jawatan atau memberikan kerja dalam tempoh tertentu kepada seseorang untuk menikmati jawatan, kemudian digilirkan kepada seseorang yang lain untuk mengambil kesempatan juga.

“Sebaliknya, Allah telah menetapkan bahawa memimpin negara adalah amanah besar daripada-Nya kepada umat manusia dan mewajibkan kepimpinan Islam yang beriman.

“Kelayakannya akan hilang apabila berlaku khianat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pihaknya mencadangkan kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan termasuk menguatkuasakan had dua penggal untuk jawatan Perdana Menteri.

Loke berkata, janji itu terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum lalu.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata sepanjang sejarah, semua khalifah Islam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin sehingga akhir hayat mereka, dengan komitmen tidak berbelah bahagi.

“Allah telah menetapkan bahawa para anbiya’ yang membawa ajaran Islam, juga berperanan sebagai pemimpin. Selepas kewafatan mereka, tugas itu digantikan oleh golongan yang meneruskan ajaran para anbiya’,” katanya.

Mengulas lanjut, Hadi berkata, dalam konteks kerjasama dengan pihak bukan Islam, parti itu tidak menafikan hubungan dengan mereka yang tidak ekstrem dan bersedia untuk menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh Islam.

Namun apabila terdapat pihak yang secara terang-terangan menentang prinsip-prinsip Islam seperti yang dilakukan oleh DAP maka kerjasama tersebut harus dihentikan.

“Apabila mereka menegaskan dalam perlembagaannya untuk meminggirkan Islam daripada kedaulatan negara dan meneruskan dasar penjajah terdahulu.

“Di samping itu, para pemimpinnya mengeluarkan kenyataan secara terbuka menentang pelaksanaan Islam di negeri-negeri, walaupun hanya melibatkan penganut Islam sahaja,” kata beliau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, kerajaan sedia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Bagaimanapun Anwar menegaskan, proses itu akan dilaksana dengan rapi kerana ia memerlukan konsensus semua parti serta sokongan dua pertiga Ahli Parlimen. -19 Mac, 2025

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related