HEADLINES

Selepas beberapa nama dipertimbangkan, akhirnya Masjid Madani dipilih: Jakel

Selepas beberapa nama dipertimbangkan termasuk Masjid Jakel dan nama-nama para sahabat Nabi, kami adik-beradik sepakat memilih nama Masjid Madani: Mohamed Faroz

12:58 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Nama Masjid Madani dipilih oleh Kumpulan Jakel sebagai penghormatan kepada kerajaan hari ini di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, meskipun pada mulanya beberapa nama dicadangkan namun beliau sekeluarga memutuskan untuk meletakkan nama masjid itu sebagai Masjid Madani.

Jelasnya, pada mulanya mereka mempertimbangkan beberapa nama termasuk Masjid Jakel atau nama-nama para sahabat Nabi dan Perdana Menteri bersetuju dengan nama berkenaan.

“Ketika kami bentang pelan pembinaan masjid pada Perdana Menteri, beliau tanya adakah nama masjid sudah diputuskan.

“Saya bagitau saya dan adik- beradik bincang dan pertimbangkan beberapa nama termasuk Masjid Jakel atau nama-nama para sahabat Nabi sebagai penghormatan.

“PM bersetuju tapi bila kami pulang dan bincang sekeluarga dan kami bersepakat pilih nama Masjid Madani. Kami anggap sebagai penghormatan kepada usaha kerajaan hari ini bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membina masyarakat yang lebih adil, beradab dan menyantuni semua lapisan masyarakat,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Masjid empat tingkat yang berkeluasan 12,142 kaki persegi itu, turut mengandungi kemudahan seperti ruang perpustakaan, dewan persidangan, ruang seni dan budaya untuk memperkenalkan Islam kepada orang ramai.

Masjid Madani mampu menampung sehingga kira-kira 2,900 jemaah pada satu-satu masa termasuk 592 jemaah di ruang utama solat yang terletak tingkat satu.

Menurut Mohamed Faroz, pembinaan Masjid Madani bukan untuk menggantikan Masjid India atau surau IPD Dang Wangi sebaliknya ia bagi memenuhi keperluan yang mendesak di kawasan berkenaan.

Beliau juga memberitahu, pembinaan masjid itu adalah hasrat Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad dan mengambil kira keperluan masyarakat setempat yang menghadapi masalah kesesakan teruk di masjid berhampiran terutama sekali ketika hari Jumaat dan musim perayaan.

“Kewujudan masjid ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada umat Islam di kawasan sekitar tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan masyarakat dengan menyediakan kemudahan tempat ibadah yang selesa dan teratur,” katanya. – 27 Mac, 2025

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Govt has settled RM42bil of 1MDB debt, total obligations exceed RM50bil: Anwar

Anwar reveals over RM9 billion in remaining debt, with government funds covering the shortfall

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Related