HEADLINES

Jika ada kebocoran, Petronas boleh kesan menerusi sistem, pusat kawalannya: Hussein

Polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui berlaku kebocoran atau tidak

6:11 PM MYT

 

SUBANG JAYA – Petronas tidak mempunyai maklumat mengenai kebocoran pada paip gas yang menyebabkan berlakunya letupan di Putra Height, Selasa lalu, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Ini kerana, kata Hussein, Petronas akan dapat mengesan menerusi pusat kawalannya jika berlaku sebarang keboroan atau kerana sistemnya sangat sensitif.

Bagaimanapun katanya, polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui sama ada berlaku kebocoran atau tidak.

“Kalau ada kebocoran, Petronas boleh kesan sebab sistem mereka cukup sensitif. Tapi buat masa ini, mereka tidak dapat sahkan sebarang kebocoran. Kita masih siasat.

“Banyak benda yang perlu dilakukan dan perkara ini boleh kita ketahui selepas kita korek lubang di pusat letupan itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (tengah) pada sidang media di lokasi kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini, hari ini. – Tangkap layar, 4 April, 2025

Beliau berkata, Petronas turut memaklumkan usia paip sudah 30 tahun dan dipasang  pada 1991.

“Polis akan melihat data yang ada di sistem petronas. Aliran atau jajaran paip gas daripada Kerteh Terengganu, sampai sini dan ke Segamat, Johor terus ke utara di Perlis dan Thailand.

“Dalam tempoh tersebut tak pernah berlaku (kebocoran) namun ini  kejadian ketiga jika dikira kejadian di Sabah dan Sarawak tapi disebabkan gempa bumi,” katanya.

Ditanya adakah aktiviti korek tanah itu dilakukan di atas tanah rizab, Hussein memberitahu”

“Itu masih dalam siasatan kita’’.

Selain itu beliau berkata, berdasarkan makluman Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), terdapat tiga unsur yang menyebabkan letupan gas.

“Gas, oksigen dan juga initial, kalau kebocoran gas sahaja dia tak akan meletup sekiranya tidak ada initialnya (pendorong percikan).

“Jadi kita kena siasat kalau gas bocor, apa yang menyebabkan kebocoran di kawasan itu,” katanya.

Ditanya sama ada laporan akhir siasatan akan dijadikan dokumen awam, Hussein berkata perkara itu akan diputuskan kerajaan negeri kemudian.

“Dari masa ke semasa kita akan dedahkan hasil siasatan, dan kebiasaannya akan umum laporan akhir, namun biar jawatankuasa teknikal dan kerajaan negeri putuskan,” katanya. 

Selasa lalu, berlaku kebakaran saluran paip gas  di Putra Heights, Selangor  menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Kebakaran saluran paip gas Petronas sepanjang 500 meter yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya. – 4 April, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Related