HEADLINES

Kerajaan jamin permohonan semakan Akta SPK berjalan tanpa campur tangan, prejudis: Anwar

Perdana Menteri berkata, persoalan ini bukan sesuatu yang boleh diketepikan dan ia menuntut penelitian serius dari sudut dan lensa undang-undang, institusi dan Perlembagaan

8:15 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bahawa proses mahkamah berhubung semakan kehakiman terhadap kesahan perlembagaan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) akan berjalan tanpa sebarang campur tangan atau prejudis, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan menghormati sepenuhnya hak mana-mana individu untuk mendapatkan tafsiran Perlembagaan melalui jalur kehakiman.

“Ini adalah antara tonggak penting dalam sistem demokrasi berperlembagaan yang berpaksikan kedaulatan undang-undang. Seperti dalam mana-mana proses mahkamah, kerajaan memberi jaminan ia berjalan tanpa campur tangan atau prejudis sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata struktur dan keanggotaan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) serta peranannya dalam proses pelantikan kehakiman telah dipersoalkan sejak sekian lama oleh pelbagai pihak termasuk badan kehakiman, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani (NGO).

“Persoalan ini bukan sesuatu yang boleh diketepikan dan ia menuntut penelitian serius dari sudut dan lensa undang-undang, institusi dan Perlembagaan,” katanya.

Anwar berkata walaupun kerajaan akan mempertahankan kesahan Akta SPK di mahkamah, Kerajaan Madani turut komited untuk meneliti semula secara menyeluruh kerangka kerja SPK selaras dengan semangat pembaharuan institusi.

“Ini bagi memastikan proses pelantikan kehakiman benar-benar mencerminkan prinsip ketelusan serta kebebasan badan kehakiman tanpa menjejaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dan keistimewaan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Anwar berkata kajian semula itu akan melibatkan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan NGO, dengan matlamat memperbaiki sebarang kelompongan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti sistem keadilan negara.

“Sebarang reformasi yang dibawa kelak akan menyemangati prinsip Perlembagaan, yakni memelihara doktrin pengasingan kuasa, menjunjung sistem Raja Berperlembagaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Hanya dengan asas yang kukuh ini, kita dapat memastikan kestabilan jangka panjang dan sistem demokrasi negara kekal terjamin,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Madani kekal berpegang kepada prinsip tadbir urus berintegriti dan akan terus bertindak dengan telus, bertanggungjawab serta menghormati semua institusi Perlembagaan dalam menguruskan isu sepenting ini. – 9 April, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

China break up Olympic champions to groom future stars

Olympic gold medallist Jia Yi Fan now partners Zhang Shu Xian in a bold move to mentor rising talent, as China strengthen their grip on women’s doubles badminton

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related