HEADLINES

Hak masing-masing untuk bertanding: Rafizi sedia dicabar Izzah, Saifuddin dalam pemilihan PKR

Ahli Parlimen Pandan itu juga berkata bahawa beliau pernah menyatakan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau sedia untuk tidak bertanding atau menyertai kabinet untuk memberi tumpuan kepada akar umbi

3:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli bersedia untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti bulan ini. 

Menteri Ekonomi itu turut mengalu-alukan penyertaan Nurul Izzah Anwar dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk bertanding jawatan itu kerana menjadi hak untuk sesiapa bertanding dan wajar diraikan dalam semangat demokrasi. 

“Saya menerima baik berita-berita bahawa Datuk Seri Saifuddin dan saudari Nurul Izzah Anwar menunjukkan minat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti. Dari awal lagi, saya menyatakan bahawa hak untuk bertanding itu adalah hak masing-masing dan wajar kita raikan dalam semangat demokrasi. 

“Oleh itu, saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti. 

“Ia keputusan yang menang-menang bagi saya. Apa pun pilihan yang diambil perwakilan parti, ia membuka ruang kepada saya menawarkan sumbangan menguatkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)..  

“Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan di dalam kepimpinan parti sebagai Timbalan Presiden, dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan. 

“Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Rafizi berkata sepanjang beliau bercuti, pertemuan empat mata diadakan bersama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saifuddin Nasution.  

“Perbincangan dengan Anwar berlaku dua kali dan sekali dengan Saifuddin. Dalam pertemuan dengan Anwar, saya mengutarakan pandangan bahawa strategi kempen ke arah PRU16 perlu diperkemaskan mengambil kira keadaan semasa rakyat. 

“Saya menyatakan bahawa saya bersedia untuk tidak bertanding Timbalan Presiden dan tidak menyertai kabinet untuk memberi tumpuan kepada kempen akar umbi.  

“Kebimbangan saya banyak berkisar kepada keadaan semasa yang mana kempen kerajaan dilihat terlalu bertahan (defensive), dan tidak menyerang (offensive) seperti rentak PKR semasa menjadi pembangkang. 

“Kedua-dua mereka memberi pandangan bahawa ada keperluan untuk saya kekal bertanding Timbalan Presiden dan menjadi sebahagian dari kabinet. Saya nyatakan bahawa saya akan mengambil kira semua pandangan dalam membuat keputusan akhir,” katanya. 

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pandan itu turut  turut berharap setiap aduan berkaitan pemilihan parti ditangani secara berhemah. 

“Saya berpendapat apa pun isu berbangkit, baik mengenai sistem, aduan, atau perkara-perkara lain, perlu ditangani secara berhemah kerana tingkah laku kita sepanjang proses ini dinilai rakyat,” katanya. 

Terdahulu, pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR menjadi perhatian selepas Nurul Izzah, yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, menerima banyak sokongan untuk bertanding. 

Setakat ini, sebahagian besar bahagian PKR di Selangor, Perak, Pahang, Johor, Kedah dan Melaka selain pimpinan utama sayap Wanita dan Pemuda PKR menyatakan sokongan kepadanya. 

Saifuddin juga disebut bakal bertanding jawatan itu namun beliau sehingga kini belum membuat keputusan. 

Pemilihan PKR bagi jawatan di peringkat pusat dijadualkan berlangsung pada 22, 23 dan 24 Mei ini. – 7 Mei, 2025 

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Related