CYBERJAYA – Malaysia berdepan kekurangan lebih 16,000 profesional keselamatan siber, namun usaha sedang dijalankan bukan sahaja untuk menutup jurang itu tetapi membina ekosistem siber yang lebih inklusif dan teguh.
Pada sesi perbincangan panel bertajuk “The Future of Cybersecurity: Preparing Our People for the Next Generation” yang diadakan sempena ulang tahun pertama Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber Malaysia (CCoE), Pesuruhjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Derek Fernandez berkata rantau ini amat menyedari keperluan untuk bertindak.
Fernandez, yang turut mempengerusikan Jawatankuasa Kemudaratan dan Keselamatan Maklumat Dalam Talian MCMC, berkata seluruh negara Asean mengiktiraf keperluan untuk menaik taraf program latihan merentas semua peringkat masyarakat.
“Seluruh negara Asean mengiktiraf kepentingan menaik taraf dan menyesuaikan program latihan di setiap lapisan masyarakat,” kata Fernandez, yang telah mempengerusikan forum serantau melibatkan pengawal selia dari seluruh Asia Tenggara.
“Daripada orang biasa yang cuba melindungi simpanan mereka, kepada agensi yang menjaga infrastruktur kritikal – semua orang memerlukan alat dan pengetahuan yang betul.”
Turut serta sebagai panel, Naib Presiden BlackBerry dan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Christine Gadsby, dan Pengarah Eksekutif Keselamatan Siber EC-Council, Dr Meisam Eslahi. Sesi itu meneroka bagaimana perkongsian awam-swasta mampu mempersiapkan rakyat Malaysia daripada ancaman siber masa hadapan dengan lebih berkesan.

Setahun lalu, MCMC melancarkan CCoE bersama BlackBerry, disokong oleh kedua-dua kerajaan Malaysia dan Kanada. Perkongsian itu kini telah berkembang dengan penglibatan badan pensijilan keselamatan siber EC-Council, yang akan membantu dalam penawaran program.
“Pusat itu kini menghimpunkan pengamal dan pendidik yang serius, dan kami telah menawarkan biasiswa kepada pengawal selia Asean untuk dilatih di sini,” katanya, menyifatkan ia gabungan strategik bertujuan untuk menangani keperluan semasa.
Apa yang penting, semua peserta sektor kerajaan layak mendapat latihan dan pensijilan percuma melalui perkongsian CCoE bersama BlackBerry – manfaat yang Fernandez harap akan mendapat pengiktirafan yang lebih meluas.
“Kursus yang berharga kira-kira RM16,000 itu dibiayai sepenuhnya. Tetapi anda mesti ‘ada minat lah’ – benar-benar berminat. Kami tidak mahu peserta yang mendaftar dan kemudian menarik diri,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar pensijilan daripada CCoE diiktiraf untuk kemajuan kerjaya dalam sektor awam, termasuk kenaikan pangkat dan kenaikan gaji – sesuatu yang beliau harap turut diterima pakai sektor swasta.
Di luar kemahiran teknikal, Fernandez menekankan keperluan untuk pendidikan dan dasar awam yang lebih baik untuk melindungi rakyat Malaysia setiap hari, terutamanya daripada penipuan.
“Adalah menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan seluruh rakyat, sama ada cepat atau lambat, daripada ancaman asing dan tempatan,” katanya yang menekankan betapa pentingnya tempoh bertenang 48 jam untuk mengekang penipuan kewangan.
“Saya telah berjuang untuk itu selama tiga tahun. Beberapa negara telah menerima pakai tempoh itu, tetapi di sini kita masih dengan 12 jam. Kita memerlukan tempoh itu supaya bank dapat membekukan transaksi yang mencurigakan sebelum wang anda hilang.”
Dalam pada CCoE meraikan ulang tahun pertamanya, pihak berkepentingan berkata pusat itu kini perlu menumpukan kepada usaha berskala – kedua-duanya untuk memenuhi kekurangan bakat serta-merta dan memastikan pengguna harian tidak ketinggalan dalam dunia digital yang semakin kompleks. – 8 Mei 2025

