KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari dibidas supaya tidak mempolitikkan tragedi pesawat MH17 sekadar untuk mengaut laba politik murahan.
Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, ia susulan gesaan Ahmad Fadhli agar Perdana Menteri tidak mendiamkan diri dalam isu tragedi pesawat MH17 semasa mengadakan lawatan rasmi ke Rusia ketika ini.
Beliau juga Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, semua pihak tidak seharusnya mudah terheret dengan permainan kuasa-kuasa besar dengan membantu menghalakan peluru musuh ke arah kita.
“’Kebetulan’ laporan ICAO (Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) tersebut hanya dikeluarkan lewat malam semalam, sehari sebelum Perdana Menteri tiba di Moscow. Undangan kepada PM bukan dipanjangkan oleh Kremlin pada minggu lalu, tetapi beberapa bulan sebelum ini.
“Malah, semasa kunjungan PM ke Vladivostok tahun lalu undangan yang sama telah disampaikan.
“Justeru, apa yang penting adalah laporan tersebut tidak seharusnya dieksploit dan ditunggang oleh pihak-pihak yang picisan dan dangkal isu.
“Mempolitikkan tragedi MH17 adalah tingkat paling bawah untuk membenih dan mengaut laba politik murahan,” katanya menerusi aplikasi X hari ini.
Semalam, Belanda dan Australia menggesa ICAO supaya mendesak Rusia memulakan rundingan berhubung insiden tembakan jatuh terhadap pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.
Menurut kerajaan Belanda, ICAO memutuskan pada Ahad bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap nahas pesawat MH17 dan telah melanggar Konvensyen Chicago 1944 mengenai Penerbangan Awam Antarabangsa.
Mengulas lanjut, Muhammad Kamil menegaskan, Malaysia sudah tentu akan terus mendukung segala usaha bagi menegakkan keadilan buat mangsa dan waris tragedi MH17.
“Rekod Malaysia di pentas dan arena diplomasi kekal cemerlang, bijaksana dan tegas seperti yang ditonjolkan dalam pelbagai siri lawatan dan kunjungan rasmi Perdana Menteri.
“Malaysia tidak berhasrat untuk berganjak dari posisi ini. Dan Insya-Allah, kunjungan rasmi ke Rusia ini tentunya akan membuahkan hasil, meneruskan momentum serta memberi laba kepada negara dan rakyat lantas meletakkan Malaysia sebagai negara yang tegas, bermaruah dan berwibawa,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Fadhli menerusi hantaran di Facebook membuat gesaan berkenaan susulan ketibaan Perdana Menteri ke Moscow memulakan lawatan rasmi empat hari ke Rusia.
Beliau berkata, kehadiran Anwar ke negara itu berlaku dalam waktu yang sangat sensitif, susulan keputusan rasmi ICAO sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan bahawa Rusia bertanggungjawab atas insiden penembakan pesawat Malaysia Airlines MH17 di ruang udara Ukraine pada Julai 2014. – 14 Mei, 2025

