KUALA LUMPUR – Ketelusan Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan isu insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 dalam pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, di Kremlin menunjukkan ketegasan komitmen Malaysia untuk terus menggunakan saluran diplomasi.
Bercakap kepada Scoop, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, langkah diambil Malaysia itu menjelaskan bahawa tragedi itu tidak seharusnya dijadikan senjata geopolitik oleh mana-mana pihak.
“Seawal 48 jam selepas pesawat itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014, naratif antarabangsa dilihat lebih menjurus kepada tekanan politik terhadap Rusia dan Presidennya, Vladimir Putin — jauh sebelum konflik Rusia-Ukraine tercetus secara rasmi.
“Presiden Putin sendiri menyatakan kesediaan Rusia untuk menyelesaikan isu ini, namun menegaskan bahawa ia tidak seharusnya dijadikan senjata geopolitik.
“Lebih mengejutkan, apabila Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) ditubuhkan pada 2014 untuk menyiasat tragedi ini, Malaysia — pemilik pesawat dan salah satu negara mangsa utama — tidak dimasukkan dalam pasukan teras penyiasatan pada awalnya.
“Ketika itu, Malaysia dilihat seolah-olah “terlalu mesra” dengan Rusia, meskipun yang terlibat ialah pesawat negara sendiri, MH17.
“Bagaimanapun, pendekatan diplomasi terus menjadi asas kepada pendirian rasmi Malaysia dalam usaha memastikan keadilan tetap ditegakkan untuk mangsa dan keluarga mereka, tanpa terperangkap dalam konflik kuasa besar,” katanya.
Terdahulu, dalam pertemuan bersama Putin, Rabu lalu, Anwar berkata, perkara itu dibangkitkan semasa rundingan dua hala beliau dengan Presiden Rusia itu di Kremlin sebagai mewakili keluarga mangsa yang terjejas akibat insiden tersebut.
Perdana Menteri berkata, Putin mendengar dengan meneliti perkara yang dibangkitkan sebelum menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Anwar berkata, Presiden Rusia itu menegaskan, beliau telah menuntut supaya siasatan rapi dan menyeluruh dijalankan selain isu tersebut tidak dipolitikkan.
Putin berkata, sejak awal lagi Moscow memohon supaya siasatan berhubung perkara itu harus bebas dan teliti selain menegaskan, Rusia sedia memberikan kerjasama untuk mempastikan laporan tersebut lebih berwibawa.
Kenyataan itu susulan penemuan laporan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bahawa Rusia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada 2014.
Menurut laporan ICAO, pesawat itu dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia semasa terbang melintasi timur Ukraine, ketika berlakunya pertempuran antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Anwar, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, Malaysia tidak berganjak daripada posisi untuk mencari jalan penyelesaian dan menegakkan keadilan, khususnya kepada keluarga dan juga mangsa insiden pesawat MH17.
Beliau berkata, bagaimanapun, Malaysia juga harus bijak dalam mengatur langkah dalam menangani isu ini.
“Saya fikir hal ini seperti yang disebut oleh Perdana Menteri adalah tidak wajar ia dipolitikkan.
“Kerana dalam keadaan sekarang yang terbaik bagi kita ialah mencari jalan dan juga kaedah untuk menyelesaikan kemelut ataupun masalah yang timbul,” katanya.
Pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine pada 17 Julai 2014 mengorbankan 298 penumpang termasuk 15 anak kapal. – 17 Mei, 2025

