HEADLINES

Lebih 50% perwakilan PKR boikot undian: PN

Sepatutnya ia melibatkan penyertaan penuh seramai 32,030 perwakilan, namun hanya 13,669 perwakilan yang mengambil bahagian, kata Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat

11:05 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jurang penyertaan dalam pemilihan kepimpinan pusat PKR yang berlangsung semalam bukan angka yang boleh dipandang ringan, sebaliknya menunjukkan berlakunya defisit kepercayaan dalam kalangan ahli terhadap kepimpinan dan hala tuju parti.

Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat Mohamad Shafiq Abdul Halim, berkata keadaan ini mencerminkan prospek yang positif bagi Perikatan Nasional (PN) untuk melangkah ke hadapan dalam menghadapi siri pilihan raya yang akan datang, khususnya Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Proses pemilihan kepimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sepatutnya melibatkan penyertaan penuh seramai 32,030 perwakilan melalui kaedah pengundian fizikal dan dalam talian, sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.

“Namun demikian, berdasarkan keputusan rasmi bagi jawatan Timbalan Presiden, hanya 13,669 perwakilan yang mengambil bahagian dalam proses pengundian,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut, Nurul Izzah Anwar menerima 9,803 undi, manakala
penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli, memperoleh 3,866 undi.

“Kadar penyertaan ini menunjukkan penurunan ketara sebanyak 57% berbanding jumlah
keseluruhan perwakilan yang layak mengundi,” katanya.

Trend ini mencerminkan bahawa lebih dari separuh perwakilan PKR di seluruh negara tidak terlibat dalam proses pemilihan parti, sekali gus memberi isyarat kepada wujudnya unsur boikot.

Pada keputusan rasmi pemilihan semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan menang tanpa bertanding jawatan Presiden, manakala Nurul Izzah Anwar dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baharu menggantikan Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi.

Tiga penyandang, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang masing-masing berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan menjadi muka baharu yang berjaya mendapat mandat daripada perwakilan untuk menggalas tanggungjawab Naib Presiden menggantikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad. – 24 Mei, 2025

Topics

 

Hangat

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

‘Robbed again’: Johor Orang Asli accuse trustees of misusing RM6mil from land compensation fund

Linggiu Valley community files MACC report, claiming decades-old RM38.5mil trust meant for their families has been abused repeatedly

Related