HEADLINES

‘Peratusan undi rendah isyarat protes perwakilan, ragui integriti jawatankuasa pemilihan PKR’

Hubungan baik antara kedua-dua calon – Rafizi dan Nurul Izzah Anwar – turut menyumbang kepada dilema yang dihadapi perwakilan

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Peratusan rendah perwakilan yang mengundi dalam pemilihan PKR baru-baru ini mungkin tidak dapat menolak satu bentuk isyarat protes daripada sebahagian ahli parti yang meragui ketelusan sistem pemilihan, kata seorang sumber dalaman parti.

Menurut sumber itu, kritikan terbuka yang dilontarkan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli sepanjang kempen terhadap integriti jawatankuasa pemilihan mungkin telah mempengaruhi sikap penyokong beliau.

“Melalui kempen Rafizi, kita dapat lihat kritikan terhadap proses pemilihan. Jadi tidak mustahil sebahagian anggota yang menyokong beliau ambil keputusan untuk tidak mengundi.

“Kerana mereka merasakan sama ada undi atau tidak, Rafizi akan tetap tewas,” katanya kepada Scoop hari ini.

Tambahnya, terdapat juga sentimen ‘tidak yakin’ dalam kalangan perwakilan terhadap keberkesanan undi mereka.

“Sikap seperti ‘undi pun tak ubah apa-apa’ menyebabkan ramai memilih untuk tidak turun mengundi meskipun layak,” katanya.

Faktor Empati dan Kekeliruan Perwakilan

Sumber itu turut menjelaskan bahawa hubungan baik antara kedua-dua calon – Rafizi dan Nurul Izzah Anwar – turut menyumbang kepada dilema yang dihadapi perwakilan.

“Kedua-duanya adalah tokoh yang disenangi dan pernah bersama dalam satu pasukan semasa era kepimpinan Datuk Seri Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden. Pertembungan ini mencipta kekeliruan dan keadaan canggung untuk memilih salah seorang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan bahawa sebahagian besar perwakilan mungkin hadir dan mengundi bagi jawatan lain seperti Naib Presiden dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), tetapi memilih untuk tidak mengundi bagi jawatan Timbalan Presiden.

Fasa Penyembuhan Selepas Pemilihan

Mengulas mengenai suasana pasca pemilihan, sumber itu menyifatkannya sebagai satu fasa biasa yang akan diiringi dengan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong dan akar umbi.

“Lepas pemilihan memang akan ada rasa marah dan tidak selesa. Kita pernah lalui situasi sama sebelum ini. Proses penyembuhan akan ambil sedikit masa,” katanya.

Beliau berkata kini cabaran besar terletak pada bahu Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden baharu, untuk merapatkan semula jurang antara kem-kem dalam parti.

“Tugas beliau sekarang adalah untuk turun ke akar umbi dan beri keyakinan bahawa barisan kepimpinan sedia ada mampu membawa parti ke hadapan,” tambahnya.

Sementara itu Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

“Kenyataan mengenai perkara itu sudah diulas Pengerusi JPP, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa,” katanya.

Terdahulu Zaliha berkata, peratusan sebanyak 57% keluar mengundi masih dilihat wajar dan munasabah dalam pemilihan organisasi, lebih-lebih lagi apabila proses tersebut dijalankan pada hari bekerja.

Beliau turut menolak berlaku sebarang tindakan ‘boikot’ oleh perwakilan atau elemen ‘tangan ghaib’ semasa proses pemilihan yang berlangsung Jumaat lalu.

Keputusan pertandingan Timbalan Presiden bagi penggal 2025–2028 menyaksikan Nurul Izzah memperoleh 9,803 undi, manakala penyandang jawatan, Rafizi meraih 3,866 undi .

Daripada 22,081 perwakilan yang layak mengundi, hanya 13,669 undi diterima bagi jawatan Timbalan Presiden, menunjukkan lebih 8,000 perwakilan tidak mengundi. – 27 Mei, 2025

Topics

 

Hangat

[WATCH] Robust US trade links critical to sustaining Malaysian jobs: Tengku Zafrul

Malaysia risks losing thousands of jobs if it fails to come to a trade agreement with the the United States following the latter’s new tariff regime, said Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz while stressing that execution, credibility and real economic spillovers are key to sustaining investor confidence

Roslin Hashim embarks on three-year mission to boost Egyptian badminton ahead of 2028 Olympics

Former national player aims to boost Egypt’s badminton standards, with a focus on the 2028 Los Angeles Olympic Games

Marhamah’s appointment sparks debate, uncle Badrulamin hits back

He insists donation funds were audited, denies New Age links, urges fairness in judgment

Related