KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan satu kartel kontraktor mengawal antara 20 hingga 30 dewan makan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Beliau turut mendedahkan kartel terbabit mendapat kontrak dengan mudah hasil bantuan ahli politik tertentu.

“Tahu kenapa saya turun padang ke MRSM? Perkara yang memotivasikan saya untuk melakukannya selain keluhan pelajar, ialah pembabitan kartel dewan makan, memang ada kartel, ia terdedah bila ada kes keracunan makanan.
“Jadi bila saya ‘terjah’, tengok rupanya ikan yang 100 gram, jadi 20 hingga 30 gram sahaja, menu tidak ikut spesifikasi dan keadaan dewan makan kotor. Kenapa? sebab tidak ada pekerja.
“Kemudian bila kita selidik lebih dalam, wujudnya kartel, memang sebelum ini ada orang dah kata, Mara ni penuh dengan kartel, memang betul, satu kartel mengawal 20 hingga 30 MRSM,” katanya ketika menjadi tetamu episod terbaharu Trick Lama oleh PoDaBoom, podcast terbitan Big Boom Media yang turut menerbitkan Scoop, baru-baru ini.
Ia diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (lebih dikenali sebagai Rocky Bru) dan Ketua Pengarang Kumpulan, Terence Fernandez.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, lawatan mengejutnya mengukuhkan lagi dakwaan bahawa Mara telah lama dibelenggu oleh pengaruh kartel dan kepentingan politik, yang akhirnya menjejaskan kualiti perkhidmatan untuk pelajar.
“Saya periksa perolehan, semua ada proses dan sebagainya, tetapi sebenarnya bila kita turun padang kita tahu kadang alamat tempat itu, tapi asalnya tempat lain, itu yang kecoh macam mana usahakan dewan makan MRSM Taiping tapi alamat pengusaha di Sarawak.
“Perkara ini terdedah bila buat terjahan, dan kita tahu mana hendak perbaiki.
“Ini biasalah ada yang mahu mengaut keuntungan lebih, yang bawa masuk mereka juga ahli politik.
“Jadi mungkin bajet dia dah potong untuk beri ahli politik itu, ahli politik ini, mungkin, saya tak nak tuduh? Tapi Kalau tidak takkan sampai begitu sekali,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil dan penambahbaikan menyeluruh akan dilakukan untuk memastikan perolehan makanan di MRSM lebih telus, adil dan mengutamakan kebajikan pelajar.
“Kalau nak kira dari segi untung, Mara dah kira dah, lebih daripada cukup, dewan makan MRSM ini lebih tinggi daripada sekolah lain dari segi bajet,” katanya.
Ogos tahun lalu, Asyraf Wajdi mengadakan lawatan mengejut ke MRSM Taiping bagi meninjau keadaan penyediaan makanan berikutan seramai 31 pelajar mengalami keracunan sehingga dikejarkan ke hospital.
Dalam ‘terjahan’ tersebut, beliau memaklumkan bahawa terdapat pelajar mendakwa kejadian sama pernah berlaku tahun sebelum mengakibatkan sehingga 50 murid terkesan akibat keracunan makanan.
Susulan itu pada September tahun lalu, Mara menamatkan kontrak pengendali dewan makan MRSM Taiping malah kontraktor terbabit turut disaman dan tuntutan ganti rugi melalui mahkamah. – 3 Jun, 2025

