HEADLINES

Isu peletakan jawatan menteri: Jangan beri tekanan kepada PM, kata Loke

Menteri Pengangkutan berkata, Perdana Menteri akan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan menyeluruh dan mengikut budi bicara demi kepentingan negara

7:29 PM MYT

 

SEREMBAN – Semua pihak diminta agar tidak memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan peletakan jawatan dua menteri dalam Kabinet baru-baru ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata Perdana Menteri akan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan menyeluruh dan mengikut budi bicara demi kepentingan negara.

“Pelantikan menteri ialah bidang kuasa dan prerogatif Perdana Menteri (PM)… saya yakin beliau bijaksana dalam perkara ini dan akan ambil pelbagai pertimbangan serta mengisi (jawatan itu) kalau ada kekosongan… setakat ini, belum ada kekosongan.

“Seperti yang diperkatakan PM, beliau hanya meluluskan cuti kedua-dua menteri, setakat ini mereka masih memegang jawatan tersebut, (mereka) hanya bercuti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis minum petang bersama Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2024 Negeri Sembilan di sini hari ini.

Pada 28 Mei lepas, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan daripada Kabinet masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai depan selepas tewas pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025.

Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar manakala Nik Nazmi kalah pada pemilihan bagi jawatan Naib Presiden.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Anwar telah menerima permohonan cuti serta pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi serta Nik Nazmi dan beliau bersetuju meluluskan cuti kedua-duanya manakala sebarang keputusan lanjut dimaklumkan kemudian.

Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban, juga berkata DAP tidak akan mencampuri urusan mana-mana pihak termasuk parti komponen berkaitan isu dalaman parti berkenaan.

“Soal Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz meninggalkan UMNO dan mohon menyertai PKR juga bukan urusan parti kita, jadi saya ambil pendekatan kalau ia tidak libatkan parti saya, saya tidak akan komen.

“Ahli DAP juga tahu dan tidak membuat sebarang kenyataan, saya memang tidak galakkan kalau isu melibatkan parti komponen, jangan ada yang mengeruhkan keadaan… kalau ada pelantikan atau kekosongan, itu urusan mereka,” katanya.

Semalam, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua Bahagian Kota Raja dan ahli parti itu. – 31 Mei, 2025

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related