HEADLINES

Kekalkan Zafrul di Miti pastikan kesinambungan dasar: ahli ekonomi

Ketika rundingan tarif dengan AS berlangsung, ahli ekonomi mengingatkan supaya tiada gangguan dan menggesa Putrajaya mengekalkan Zafrul sebagai menteri

12:31 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Adalah penting untuk mengekalkan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz kekal sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) bagi memastikan kesinambungan dasar dan kelancaran rundingan perdagangan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat berhubung tarif import.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ia juga akan membantu membantu Putrajaya kekal fokus bagi mendapatkan keputusan terbaik hasil perbincangan yang sedang berlangsung dengan Washington.

“Mungkin adalah lebih baik untuk mengekalkan menteri itu supaya Malaysia dapat memperoleh perjanjian terbaik dengan AS,” katanya ketika dihubungi Scoop.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dengan mengekalkan Tengku Zafrul akan membantu Putrajaya kekal fokus dalam mendapatkan hasil terbaik daripada perbincangan yang sedang berlangsung dengan Washington. – Gambar media sosial, 6 Jun, 2025

Pada 30 Mei, Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya daripada Umno dan berhasratnya untuk menyertai PKR. Beliau turut melepaskan jawatan dalam Majlis Tertinggi Umno serta Ketua Umno Bahagian Kota Raja.

Berikutan pengumuman itu, Anwar menolak sebarang rombakan Kabinet dan menegaskan sokongannya terhadap Zafrul berikutan peranan penting yang dimainkan beliau dalam memastikan ratusan bilion ringgit pelaburan asing berjaya diperoleh.

Bagaimanapun beberapa pemimpin Umno termasuk presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan keperluan untuk menggantikan Zafrul bagi mengekalkan kuota parti itu dalam kerajaan, yang kini berkurang daripada tujuh kepada enam.

Dalam pada itu, Profesor Emeritus Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Must) menyifatkan rundingan tarif dengan pentadbiran Donald Trump sebagai salah satu isu paling mencabar yang sedang dihadapi oleh Putrajaya.

Profesor Emeritus Barjoyai Bardai berkata Miti telah membangunkan struktur dalaman yang kukuh dan mampu beroperasi dengan efisyen. – Gambar fail Bernama, 6 Jun, 2025

Beliau mengingatkan bahawa sama ada mengekalkan duti import semasa sebanyak 24% atau mengurangkannya kepada 10% tetap akan memberi kesan negatif kepada ekonomi Malaysia.

Justeru, kata Barjoyai, pergolakan politik dalaman perlu dielakkan kerana ia boleh mengganggu keupayaan kerajaan dalam menguruskan rundingan sensitif tersebut.

“Saya rasa, di satu pihak, kita mungkin boleh katakan kita mampu untuk tidak mengekalkan Tengku Zafrul sebagai menteri perdagangan antarabangsa, namun di pihak lain, mungkin lebih baik jika semuanya dikekalkan seperti sedia ada sehinggalah kita mempunyai lebih kepastian tentang isu tarif ini,” katanya.

Bagaimanapun, Barjoyai menyatakan Miti telah membangunkan struktur dalaman yang kukuh dan mampu beroperasi dengan efisyen tanpa mengira siapa yang menerajuinya iaitu budaya yang beliau kaitkan dengan bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz.

“Warga MITI ini lain – dan mereka memang menjalankan tugas dengan baik. Oleh itu, mereka boleh berfungsi dengan baik walaupun tanpa menteri.

“Maksud saya, Tengku Zafrul juga telah melakukan kerja yang baik dalam membawa masuk pelabur dan mempromosikan Malaysia. Tetapi mungkin beliau bukanlah tidak boleh diganti,” tambah beliau.

Namun Barjoyai berkata, mana-mana pengganti yang bakal dilantik daripada Umno perlu memastikan momentum rundingan tarif antara AS-Malaysia dikekalkan.

Jelasnya, terdapat petunjuk positif daripada perbincangan tersebut dan ia tidak seharusnya terganggu.

Barjoyai bagaimanapun berkata kemungkinan akan berlaku halangan yang tidak dijangka dan menggesa menteri di kementerian itu meneroka strategi yang pelbagai untuk mengurangkan risiko termasuk memberi fokus kepada keselamatan makanan.

“(Selain itu), kita juga perlu meneroka pasaran baharu yang berpotensi seperti Amerika Selatan, Rusia dan Asia sendiri,” katanya. – 6 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

ASNB announces RM2.18 bil dividend payout

ASB 2 declares distribution of 5.50 sen per unit to 614,309 unitholders while ASM declares five sen per unit to 740,513 unitholders

Related