KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat telekomunikasi menegaskan komitmen mereka untuk melindungi data dan privasi pelanggan susulan permintaan penggunaan Data Telefon Bimbit (MPD) untuk tujuan statistik rasmi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dalam kenyataan masing-masing, U Mobile Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), YTL Communications Sdn Bhd dan CelcomDigi Bhd menegaskan ia komited untuk melindungi privasi pelanggan dan memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan dalam semua aspek pengurusan data.
Menurut U Mobile Sdn Bhd, privasi dan perlindungan data pelanggan adalah keutamaan penting syarikat itu dengan dasar dan proses yang ditetapkan untuk memastikan sebarang data yang dikongsi dianonimkan sepenuhnya, diagregatkan dan dikendalikan mengikut undang-undang dan peraturan perlindungan data yang berkenaan.
“Kami maklum tentang objektif inisiatif itu dan komited untuk bekerjasama dengan MCMC dengan memastikan standard tertinggi dalam tadbir urus data pelanggan.
“Apabila kami berkongsi MPD dengan MCMC, maklumat peribadi pelanggan yang boleh dikenal pasti tidak akan dikongsi atau diproses pada bila-bila masa,” kata syarikat itu, lapor Bernama.
Jumaat lalu, MCMC menjelaskan bahawa pengumpulan MPD daripada pengendali rangkaian mudah alih tidak melibatkan akses, pemprosesan atau pendedahan sebarang maklumat yang boleh dikenal pasti secara peribadi.
Menurut MCMC, MPD itu hanya akan digunakan untuk penjanaan statistik rasmi bagi menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti dalam dua domain utama, iaitu sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan sektor pelancongan.
Sementara itu, Telekom Malaysia Bhd (TM) berkata, MPD yang dikemukakan kepada MCMC adalah dalam bentuk anonim dan tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti.
Tambahnya, pengemukaan data dilaksanakan di bawah tadbir urus dan protokol keselamatan yang ketat, dengan pematuhan sepenuhnya terhadap dasar syarikat yang berkaitan serta undang-undang dan peraturan kawal selia negara.
“Kami terus komited dalam memastikan keselamatan dan privasi data pelanggan kekal terpelihara dengan penuh tanggungjawab dan integriti,” katanya.
Manakala CelcomDigi Bhd pula memberitahu ia akan terus bekerjasama dengan MCMC untuk menyokong inisiatif kerajaan tanpa menjejaskan integriti data pelanggan.
“Apabila diperlukan, CelcomDigi akan memproses data yang diminta dalam persekitaran selamat kami sendiri dan menyediakan sampel terhad pada lapangan berkaitan yang terdiri daripada output dianonimkan dan diagregatkan kepada MCMC,” katanya.
Maxis Bhd berkata untuk inisiatif ini, seperti yang diminta oleh MCMC, tidak ada akses kepada, memproses atau berkongsi maklumat yang dapat dikenal pasti secara peribadi di mana-mana peringkat disebabkan syarikat meletakkan keutamaan pada privasi dan keselamatan data.
“Semua data dirahsiakan oleh Maxis dan diproses secara agregat dalam persekitaran yang selamat, dengan mematuhi sepenuhnya Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA),” katanya melalui satu kenyataan.
YTL Communications Sdn Bhd pula mengesahkan pematuhan terhadap permintaan MCMC untuk menyerahkan rekod penggunaan rangkaian mudah alih bagi menyokong mandat kerajaan menggunakan MPD untuk tujuan statistik nasional.
“Dalam memenuhi tanggungjawab ini, YTL Communications telah mengambil langkah rapi untuk menganonimkan semua data sebelum penyerahan.
“Tiada maklumat yang boleh dikenal pasti secara peribadi dikongsi dan privasi pelanggan tetap menjadi keutamaan kami,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan. – 8 Jun, 2025

