IPOH – Sekurang-kurangnya 15 maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik, awal pagi tadi.
Sejumlah 13 mangsa maut di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Gerik.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tersebut dari Hospital Gerik kira-kira jam 1 pagi tadi.
“Sampai di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah bas terbalik dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza,” menurut kenyataan itu.
PKOD APM Hulu Perak turut memaklumkan keseluruhan 48 mangsa yang terlibat, termasuk 13 orang meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua orang di hospital, manakala empat lagi mangsa tercedera.
Difahamkan bas membawa pelajar UPSI itu disewa khas bagi membawa pelajar UPSI dari Terengganu dan Kelantan yang pulang menyambut perayaan Aidiladha kembali ke kampus bagi memulakan pengajian mereka hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon dalam kenyataan berasingan berkata bas dan kereta jenis Perodua Alza itu dalam laluan yang sama iaitu dalam perjalanan dari Jeli, Kelantan ke Gerik.
Sayani turut mengesahkan kejadian itu melibatkan seramai 48 mangsa dalam kemalangan yang menyebabkan bas terbalik dan kereta terbabas ke dalam parit.
“Terdapat mangsa yang berjaya keluar dengan sendiri, ada mangsa yang tercampak keluar dan ada mangsa yang masih berada di dalam bas.
“Ketua Operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep saver dengan mengarahkan anggota membuat pemotongan pada bahagian belakang bas, untuk membuat ruang kerja dengan menggunakan peralatan khas pemotong hidraulik,” katanya lapor Bernama.
Beliau berkata apabila ruang kerja berjaya dilakukan didapati terdapat enam mangsa yang masih berada di dalam bas.
Katanya tindakan penyelamatan seterusnya dilakukan oleh bomba dengan menstabilkan mangsa yang cedera dan membawa mereka keluar dari dalam bas dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Mangsa-mangsa yang cedera termasuk yang berjaya keluar dengan sendiri telah diberi rawatan awal oleh pihak KKM yang berada di lokasi. Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital dengan menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), ambulans KKM dan APM,” katanya lagi.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin ketika dihubungi berkata kebanyakan penumpang bas merupakan pelajar UPSI yang dalam perjalanan dari Terengganu, pulang ke kampus di Tanjong Malim selepas cuti perayaan Aidiladha.
“Kesemua mereka berkumpul di Jerteh dan menyewa bas sendiri untuk pulang ke kampus di Tanjong Malim selepas pulang beraya di kampung halaman masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata kementerian itu akan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan susulan tragedi itu.
Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan yang turut melibatkan warga UPSI.
“Sebarang maklumat lanjut akan dikemas kini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff menjelaskan, bas persiaran berkenaan telah disewa secara persendirian oleh pelajar sempena cuti Hari Raya Aidiladha dan mereka dalam perjalanan pulang ke kampus selepas bercuti di kampung halaman sekitar Jertih dan Hulu Terengganu.
“Tiada pensyarah atau kakitangan terlibat kerana perjalanan itu diurus sendiri oleh pelajar sempena cuti Hari Raya Haji,” katanya.
Md Amin berkata, pasukan kaunselor juga telah digerakkan, manakala pusat gerakan khas di kampus UPSI sedang beroperasi sepenuhnya bagi menyelaras bantuan dengan kerjasama pemimpin masyarakat di Jertih dan Hulu Terengganu.
Katanya, bantuan seorang staf untuk satu keluarga turut disediakan bagi memastikan waris serta mangsa mendapat bantuan sewajarnya, sehingga semua urusan selesai.
“Kita sediakan pelbagai bantuan termasuk penginapan kepada keluarga mangsa. Kita juga akan bantu dari segi lain-lain yang kita mampu,” katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini. – 9 Jun, 2025
