KUALA LUMPUR – Meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Datuk Seri Rafizi Ramli menyertai semula Kabinet, namun beliau memberikan bayangan kekal dengan keputusan untuk melepaskan jawatan tersebut.
Menerusi hantaran di media sosial, Rafizi memuatnaik gambar beliau bersama pegawai-pegawai yang banyak membantunya mengusahakan insiatif ekonomi di kementerian tersebut.
Rafizi juga memaklumkan beliau memasuki pejabatnya itu untuk kali terakhir hari ini.
“Saya masuk ke pejabat buat kali terakhir semalam dan hari ini (Jumaat) untuk urusan-urusan terakhir, termasuk mengemas pejabat.
“Saya ingin ambil kesempatan ini untuk memperkenalkan beberapa orang yang banyak membantu saya mengusahakan inisiatif ekonomi di bawah Kementerian Ekonomi.
“Mereka adalah pegawai-pegawai dasar dalam pasukan saya yang saya pujuk untuk meninggalkan kerjaya masing-masing sebelum ini dan berkhidmat di pejabat saya,’’ katanya menerusi akaun X hari ini.
Semalam, Anwar berkata beliau masih memberi masa kepada dua menteri yang meletakkan jawatan sebelum ini, untuk memikirkan secara masak-masak sebelum melepaskan kedudukan mereka dalam Kabinet.
Selain Rafizi, seorang lagi adalah Nik Nazmi Nik Ahmad yang menjadi Menteri Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam .
Perdana Menteri berkata, jika boleh beliau mahu Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad kembali menyertai Kabinetnya.
” … biar mereka berfikir …. Saya kalau boleh (mahu) mereka sertai semula (Kabinet). Surat (peletakan jawatan) sudah diterima, tetapi saya belum terima (luluskan) peletakan jawatan mereka,” katanya.
Rafizi dan Nik Nazmi sebelum ini menghantar surat peletakan jawatan susulan kekalahan mereka pada pemilihan parti yang berlangsung bulan lalu.
Rafizi dalam satu kenyataan berkata, beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan berkuatkuasa 17 Jun kepada Perdana Menteri. Manakala Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa 4 Julai ini. – 13 Jun, 2025
