KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menyuarakan kebimbangan serius terhadap gelombang persaraan sembilan hakim Mahkamah Persekutuan, termasuk Ketua Hakim Negara yang bakal berlaku dalam masa terdekat.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sehubungan itu, PN mencadangkan agar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda pada 1988 dikaji semula bagi mengembalikan kuasa asal badan kehakiman sebagai cabang yang setara dalam pemerintahan.
“PN ingin menegaskan bahawa kebebasan badan kehakiman bukan satu pilihan, tetapi asas kepada sebuah demokrasi yang matang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, rakyat Malaysia berhak kepada sistem keadilan yang tegas, adil dan bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Keputusan yang diambil hari ini akan menentukan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman untuk puluhan tahun akan datang,” katanya.
Takiyuddin juga menggesa supaya proses pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu dan jawatan tertinggi badan kehakiman benar-benar berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, bebas pengaruh politik atau campur tangan mana-mana pihak.
Dalam soal ketelusan pelantikan, ujar beliau, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) mestilah diberi ruang sewajarnya untuk melaksanakan fungsinya tanpa sebarang tekanan politik khususnya daripada pihak eksekutif.
“Justeru nama-nama yang disyorkan hendaklah berdasarkan kelayakan, integriti dan senioriti, bukan atas hubungan atau kecenderungan politik.
“PN mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dwipartisan bagi memantau proses pelantikan hakim yang langkah berkenaan akan menjamin akauntabiliti tanpa menjejaskan kebebasan badan kehakiman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menyifatkan persaraan sembilan hakim itu sebagai perkembangan yang bukan sahaja luar biasa, beliau berkata ia juga merupakan ujian terbesar kepada komitmen negara terhadap prinsip kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman.
“Kenyataan tegas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini perlu diambil sebagai peringatan penting.
“Beliau mengimbau kembali Krisis Kehakiman 1988 sebagai detik paling gelap dalam sejarah perlembagaan negara. Hanya tanggapan berlakunya campur tangan politik pun sudah cukup untuk menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman.
“Adalah amat mendukacitakan sekiranya benar berlakunya pertelingkahan yang tidak wajar di kalangan ahli-ahli JAC dalam proses perlantikan yang bakal dibuat bagi posisi-posisi tertinggi badan kehakiman negara,” katanya.
Takiyuddin berkata, selain itu PN berpendirian, Perdana Menteri juga perlu menyatakan komitmen secara terbuka untuk bertindak berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan, serta menghormati doktrin pengasingan kuasa.
“PN akan terus menjadi entiti semak dan imbang yang bertanggungjawab, mempertahankan kebebasan badan kehakiman daripada sebarang bentuk pengaruh atau kembalinya era gelap pengkhianatan perlembagaan,” katanya. – 17 Jun, 2025

