KUALA LUMPUR – KL Strike Force telah diarahkan untuk melaksanakan kajian menyeluruh dan mengambil tindakan segera bagi menangani penyalahgunaan dadah termasuk penggunaan vape sebagai medium penyaluran bahan terlarang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, ini kerana ancaman tersebut amat membimbangkan dan semakin menyusup ke ruang kehidupan generasi muda, termasuk pelajar sekolah.
Dr Zaliha yang juga Pengerusi KL Strike Force berkata, pasukan itu akan membabitkan penglibatan aktif semua agensi penguatkuasaan, institusi pendidikan, komuniti setempat dan pakar kesihatan awam.
“Saya telah mengarahkan agar isu ini dikaji dan ditangani secara menyeluruh serta diselaras segera.
“Pendekatan yang diambil kelak akan merangkumi aspek penguatkuasaan, pencegahan, pemulihan dan pendidikan awam,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
KL Strike Force yang ditubuhkan pada tahun lepas merupakan satu unit khas yang bertindak secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Selain dadah, KL Strike Force turut menjalankan penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin, penjaja tanpa lesen dan membendung aktiviti persundalan.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, secara keseluruhannya tahap keselamatan di Wilayah Persekutuan kekal stabil dan terkawal.
“Namun, kita tidak boleh alpa. Keamanan yang dinikmati hari ini perlu dipertahankan melalui iltizam yang konsisten, respons yang tangkas dan sinergi antara agensi yang mantap.
“Bagi saya, keselamatan adalah cerminan kepada keutuhan masyarakat dan kecekapan dasar yang dilaksanakan.
“Keupayaan kita untuk mengurus punca kepada gejala sosial adalah asas kepada bandar yang lebih berdaya tahan,’’ katanya.
Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Wilayah Persekutuan.
Mesyuarat itu, katanya bertujuan mendapatkan gambaran komprehensif dan berdiskusi mengenai tahap keselamatan semasa di Wilayah Persekutuan, termasuk penilaian terhadap Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK), trend jenayah bandar dan cabaran baharu yang menuntut tindakan lebih tuntas. – 18 Jun, 2025
