HEADLINES

Keputusan rayuan SIS Forum cabar fatwa Selangor diketahui esok

SIS Forum sifatkan fatwa itu menimbulkan persoalan undang-undang dan perlembagaan manakala Mais berpandangan keputusan mahkamah akan memberikan impak kepada fatwa bukan hanya di Selangor malah seluruh negara

7:45 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan esok berhubung rayuan SIS Forum (Malaysia) untuk mencabar fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama Islam Selangor, yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mereka yang dinamakan sebagai responden dalam rayuan itu ialah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan kerajaan negeri Selangor.

Pada 31 Julai 2014, Kerajaan Selangor mengisytiharkan SIS Forum Malaysia, individu dan kumpulan mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas selain meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menapis laman sesawang sosial yang bercanggah dengan ajaran serta hukum syarak Islam.

Pada Oktober 2014, pengasas SIS Forum Malaysia, Zainah Mahfoozah Anwar memfailkan permohonan mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor itu.

Namun, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan masing-masing pada Ogos 2020 dan Mac 2023 menolak permohonan semakan kehakiman dan rayuan mereka untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat kerana mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa berkaitan hukum syarak.

Pada 21 Ogos 2023, SIS Forum Malaysia diberikan kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Dalam pada itu, SIS Forum Malaysia menerusi satu kenyataan menyifatkan fatwa berkenaan menimbulkan persoalan undang-undang dan perlembagaan yang melangkaui pertimbangan teologi.

Menurutnya, keluasan, skop dan bahasanya menyentuh isu-isu asas berkaitan pemisahan kuasa antara autoriti agama dan sivil, pengawalseliaan masyarakat sivil, serta perlindungan hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Penyelesaian akhir kes ini bakal membawa implikasi jangka panjang terhadap kerangka perundangan yang mengatur persilangan antara agama, undang-undang dan kehidupan awam di Malaysia,’’ kata pertubuhan berkenaan.

SIS Forum Malaysia turut mempersoalkan adakah pihak berkuasa agama Islam negeri mempunyai kuasa untuk menguatkuasa fatwa terhadap entiti seperti syarikat dan adakah fatwa tersebut mencabuli kebebasan asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dari segi kesamarataan, kebebasan bersuara dan beragama.

“Adakah proses sewajarnya telah dijalankan dalam kes ini dan jika tidak, adakah fatwa itu sah dan boleh dikuatkuasakan.

“Bolehkah istilah yang tidak jelas seperti liberalisme dan pluralisme dijadikan suatu kesalahan,’’ soalnya.

Dalam pada itu, pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Salehuddin Saidin berkata sebarang keputusan mahkamah akan memberikan impak kepada fatwa bukan hanya di Selangor, malah di seluruh negara.

Menurutnya, fatwa adalah satu keputusan yang dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri selepas mengkaji pelbagai aspek demi kemasalahatan umat Islam.

Beliau turut berharap keputusan akan memihak kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Mais dan kerajaan Selangor.

“Sekiranya (keputusan) tidak memihak kepada kita, ia akan membolehkan mereka mencabar apa sahaja fatwa selepas ini dan implikasinya sangat besar,” katanya. – 18 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

[TONTON] Urus zakat secara audit bebas, profesional atasi ‘loopholes’: MCW

Jais Abdul Karim menegaskan kutipan zakat dan derma awam perlu diaudit secara profesional, dengan garis panduan jelas agar dana tidak disalahguna sambil mengingatkan, amil berhak menerima bahagian secukupnya — bukan bermewah — kerana ini ibadah, bukan perniagaan

Insiden FSO Sepat: Petronas sahkan tiga pekerja kontraktor maut, seorang parah bot jatuh dari pelantar

Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja kontraktor yang maut akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini, manakala mangsa yang cedera parah masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

Five more suspects arrested in RM4.6 mil Genting casino chip heist

Police have tracked down five local men, including the mastermind of the RM4.6 million casino chips heist at Genting Highlands on October 28, believed to be the largest chips robbery in the highland resort’s history.

Related