◉ HEADLINES

Najib dapat DNAA dalam kes SRC RM27 juta

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001

10:27 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Najib Razak daripada tiga tuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta.

Keputusan dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, dalam prosiding hari ini.

Perintah DNAA (lepas tanpa bebas) bermaksud tertuduh dilepaskan daripada pertuduhan sementara namun boleh didakwa semula sekiranya pihak pendakwaan memilih untuk mengemukakan pertuduhan pada masa hadapan.

Pada 3 Februari 2019, bekas Perdana Menteri itu didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Beliau didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Muniandy berkata kes terhadap Najib telah tergantung selama enam tahun sejak 2019 tanpa sebarang keterangan saksi dikemukakan, hanya mengalami beberapa penangguhan sekali gus menunjukkan bahawa pihak pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan, lapor Bernama.

“Pihak pendakwaan masih belum bersedia untuk mendakwa kes ini dalam masa terdekat kerana mereka belum memperoleh dan mengumpulkan dokumen-dokumen penting yang diperlukan sebagai bukti terhadap tertuduh. Penantian terlalu lama untuk perbicaraan ini menjadi suatu beban berpanjangan bagi tertuduh dan menafikan haknya untuk mendapat penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya,” katanya.

Hakim Muniandy berkata mahkamah mengambil maklum akan fakta semasa bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib berkaitan kesalahan yang didakwa berlaku sejak 2014, namun pada 2025 kes itu masih belum dimulakan untuk perbicaraan.

“Berdasarkan faktor ini, perintah paling wajar adalah untuk mahkamah ini melepaskan tertuduh tanpa membebaskannya, agar beliau tidak terus dibebani dengan pertuduhan yang masih belum dapat diteruskan.

“Malah, tiada sebarang prejudis terhadap pihak pendakwaan dengan perintah pelepasan ini yang dalam istilah umum dikenali sebagai DNAA kerana pendakwaan masih boleh meneruskan kes ini apabila mereka sudah bersedia,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul ketika kes disebut di hadapan Hakim Muniandy minggu lepas berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menolak representasi yang dikemukakan bekas perdana menteri itu bagi menggugurkan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram.

Pada masa sama, pihak pendakwaan memohon tempoh lebih lama bagi mendapatkan dokumen berkaitan dan menyediakan penyataan saksi.

Sehubungan itu, peguam utama kepada Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan agar mahkamah melepaskan tanpa membebaskan anak guamnya demi memastikan keadilan ditegakkan memandangkan perbicaraan telah ditangguhkan sejak 2019.

Najib hadir ke mahkamah hari ini.

Sementara itu, Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata Najib berpuas hati dengan keputusan mahkamah hari ini kerana jumlah pertuduhan dihadapinya telah berkurangan.

 “Najib berkata beliau kini boleh memberi tumpuan kepada kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

Pada 3 Feb 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Pada 2 Sept 2022, beliau telah memfailkan petisyen pengampunan diraja, dan pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – 20 Jun, 2025

Topics

 

◉ Hangat

MRCB stadium suit: Abdul Razak silenced, Hunter faces trial in absentia

Activist Abdul Razak bound by consent judgment in MRCB’s stadium redevelopment suit, permanently restrained from repeating allegations, while blogger Murray Hunter faces trial in absentia with judgment set for July 17

Exploring Perak’s ancient limestone formations: Gua Tempurung 

Brown signboards marking sites of cultural interest and recreation along the North South Highway and federal roads often inject some excitement at the possibility of making new discoveries, but many miss out on delving into an actual adventure due to other distractions.

Police to summon Zamri Vinoth over alleged threatening, racist remarks

This following a police report lodged against the remarks purportedly made during a TikTok live broadcast

◉ Related