HEADLINES

Konflik Iran-Israel: 24 individu termasuk 17 rakyat Malaysia selamat tiba di tanah air

Kumpulan itu terdiri daripada 17 rakyat Malaysia, enam warga Iran yang merupakan tanggungan kepada rakyat Malaysia serta seorang warga Singapura

8:11 AM MYT

 

SEPANG – Seramai 24 individu termasuk 17 rakyat Malaysia, yang melalui proses evakuasi dari Iran susulan konflik yang semakin meruncing di negara itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, malam tadi.

Penerbangan Malaysia Airlines MH781 itu tiba di KLIA di sini, pada jam 11.03 malam.

Ketibaan mereka disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani.

Kumpulan itu terdiri daripada 17 rakyat Malaysia, enam warga Iran yang merupakan tanggungan kepada rakyat Malaysia serta seorang warga Singapura.

Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar yang mengetuai kumpulan itu ketika ditemui media berkata mereka perlu melalui jalan darat kira-kira 1,000 kilometer untuk keluar dari Tehran.

“Kita pilih laluan yang jauh daripada punca serangan yang datangnya dari arah barat. Maka, kita ke arah timur. Alhamdulillah (kami mendapat) kerjasama rapat dari Kerajaan Turkmenistan yang membenarkan rakyat asing untuk melalui sempadan,” katanya.

Beliau berkata terdapat kira-kira 12 rakyat Malaysia yang masih berada di Iran dan Wisma Putra memantau rapat perkembangan mereka bagi memastikan kesemuanya berada dalam keadaan selamat dan baik.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan kesemua mereka telah melepasi sempadan Iran-Turkmenistan semalam dan mereka kemudiannya menaiki penerbangan Turkmenistan Airlines T5 647 pada 22 Jun dan transit di Bangkok, Thailand sebelum menaiki Malaysia Airlines MH 781 untuk pulang ke Malaysia.

Proses evakuasi itu berjaya dilaksanakan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, melibatkan perjalanan darat sejauh 1,120 kilometer ke pintu sempadan Iran-Turkmenistan. 

Urusan penerbangan dari Ashgabat, Turkmenistan ke Bangkok, Thailand dan seterusnya ke Malaysia turut dibantu serta diselaraskan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.

“Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Republik Islam Iran, Kerajaan Turkmenistan dan Kerajaan Thailand atas kerjasama erat yang telah diberikan, yang membolehkan proses membawa pulang rakyat Malaysia ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

“Proses evakuasi ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia dalam menjamin keselamatan dan kebajikan warganegara, selaras dengan nilai teras Ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat juga telah membantu pergerakan dan penerbangan warganegara Brunei dari Turkmenistan pulang ke negara asal masing-masing. 

Penglibatan seorang warganegara Singapura dalam operasi evakuasi kali ini serta bantuan kepada warganegara Brunei mencerminkan kesediaan Malaysia untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat negara anggota Asean, sejajar dengan semangat solidariti serantau.

Wisma Putra mengarahkan penutupan sementara kedutaan Malaysia di Iran dan kakitangan kedutaan di negara itu pulang segera berikutan krisis Iran-Israel semakin meruncing apabila kedua-dua pihak menggandakan serangan. – 23 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related