HEADLINES

Umno kini pemilik tanah 9,723 meter persegi di ibu kota

Difahamkan tanah berkenaan menempatkan sebuah hotel terkemuka di ibu negara dikenali sebagai Hotel Seri Pacific

4:56 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Umno kini pemilik sebidang tanah berkeluasan 9,723 meter persegi selepas permohonan untuk ia dipindah milik kepada parti itu berjaya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili parti itu memberitahu, anak guamnya selaku pemohon bersetuju untuk menyelesaikan kes menerusi penghakiman persetujuan dengan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (responden).

“Mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan pihak-pihak dan perletakan hak tanah tersebut dalam tempoh 30 hari,” kata hakim itu, lapor Sinar Harian.

Umno turut diwakili seorang lagi peguam, Norhazira Abu Haiyan.

Difahamkan tanah berkenaan menempatkan sebuah hotel terkemuka di ibu negara dikenali sebagai Hotel Seri Pacific.

Terdahulu, parti tertua negara itu memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan supaya tanah itu dipindah milik kepada parti politik berkenaan.

Saman itu difailkan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Mohd Sumali Reduan selaku plaintif menerusi firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi di sini, pada 6 Mac lalu.

Mereka menamakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai defendan.

Dalam saman itu, Umno memohon satu perintah bahawa pemilik geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftarkan atas nama pemegang-pemegang Amanah, iaitu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid dipindahkan kepada Umno mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.

Selain itu, Umno memohon Pendaftar Hakmilik Wilayah Persekutuan atau Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan melaksanakan perintah tersebut dengan membuat memorial di dalam dokumen hak milik.

Berdasarkan afidavit sokongan, Mohd Sumali berkata, Borang Jadual 17, permohonan kebenaran untuk pindah milik tanah bertarikh 27 Oktober 2015 bagi hartanah itu yang disertakan dengan Surat Akuan bertarikh 22 Oktober tahun sama, disahkan serta ditandatangani oleh empat pemimpin terbabit.

“Dua pemegang amanah telah meninggal dunia iaitu Sanusi pada 9 Mac 2018 dan Daim pada 13 Nov 2024. Kematian Daim telah diketahui umum berikutan penyebaran berita tersebut di pelbagai platform sama ada luar talian mahupun dalam talian termasuk media sosial, portal berita, surat khabar, radio dan televisyen,” katanya.

Menurut Mohd Sumali, pemegang jawatan Umno yang terdiri daripada Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Umno telah bersetuju melalui Surat Akuan bertarikh 10 Dis 2015 untuk mendaftar semula hartanah tersebut daripada pemegang-pemegang amanah terdahulu kepada parti itu.

Jelas Mohd Sumali lagi, melalui surat bertarikh 28 Dis 2015 daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah meluluskan untuk kebenaran pindah milik daripada Pemegang-pemegang Amanah tersebut kepada Umno.

Bagaimanapun, ketika proses untuk pindah milik melalui Borang 14A bertarikh 25 April 2016 dilakukan dan diserahkan oleh peguam plaintif (Umno) kepada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGKL), permohonan Borang 14A tersebut telah ditolak pada 18 Mei 2017 atas alasan nama seperti di dalam geran hartanah adalah tidak sama seperti dalam kad pengenalan. – 24 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related