HEADLINES

Tarik semula penggantungan, Hishammuddin tak kritik Umno seperti Isham atau KJ: penganalisis

Hishammuddin masih memiliki aura dan kepimpinannya boleh membantu Umno Johor dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri, kata penganalisis

3:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Umno seharusnya membatalkan penggantungan bekas naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengambil kira sikap pemimpin itu yang tidak menyerang mahupun mengkritik parti sepanjang menjalani tempoh hukumannya.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, Hishammuddin masih memiliki aura dan kepimpinannya boleh membantu Umno Johor dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri.

“Saya rasa Hishammuddin telah belajar daripada kesilapan lepas, iaitu membuat keputusan tanpa mengambil kira apa yang dikehendaki pemimpin tertinggi.

“Bagi saya sepatutnya penggantungan Hishammuddin ditarik balik kerana tidak ada kritikan dibuatnya terhadap kepimpinan Umno.

“Memang akan ada akar umbi yang tidak suka, kerana dituduh tidak setia, namun beliau tidak seperti Isham Jalil, atau Khairy Jamaluddin..Hishammuddin tidak banyak mengkritik Umno.

“Aura Ahli Parlimen Sembrong itu masih ada di Johor dan juga peringkat nasional, pemimpin yang boleh diharapkan.

“Memandangkan Johor akan menghadapi Pilihan Raya Negeri, seharusnya keputusan perlu dibuat secepat mungkin oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, dalam hal menarik balik penggantungan Hishammuddin, saya lihat lebih banyak positif berbanding negatif,” katanya kepada Scoop hari ini.

Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada MKT untuk membuat keputusan berhubung usul menerima kembali bekas naib presiden itu.

Beliau berkata, setakat ini Hishammuddin masih belum membuat sebarang rayuan terhadap penggantungannya.

Sebelum ini Umno Sembrong mengemukakan usul supaya kepimpinan parti menarik semula penggantungan keahlian enam tahun bekas ketua bahagiannya.

Onn Hafiz yang juga ketua Umno Johor ketika merasmikan mesyuarat bahagian Sembrong berjanji membawa usul itu kepada kepimpinan tertinggi Umno.

Penganalisis Sosiopolitik dari Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpandangan, Hishammuddin perlu menunjukkan kesungguhan lebih jelas dengan membuat rayuan dan bukan datang daripada usul pihak lain.

“Bila tiada rayuan dibuat, ini bermakna kesungguhan Hishammuddin sendiri tidak jelas.

“Adakah kembalinya beliau akan perkukuh Umno hadapi PRU-16?, saya rasa mungkin tidak bawa kesan besar, kerana Umno sendiri ketika ini mempunyai barisan kepimpinan yang boleh memainkan peranan masing-masing.

“Umno merupakan institusi, dan pemimpin-pemimpin adalah bahagian daripada institusi itu yang tidak bergantung kepada legasi politik semata-mata,” katanya.

Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, penyertaan semula Hishammuddin boleh memberi tambah nilai kepada Umno yang ketika ini dilihat semakin meningkat prestasi selepas menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Yang penting apabila Zahid membuat polisi Umno akan terbuka menerima kembali pemimpin yang tidak khianat parti, jadi yang digantung, dipecat, tapi masih setia dengan Umno boleh kembali kepada parti.

“Itu satu cara untuk menguatkan dan merapatkan semula hubungan dalam parti, jadi tak menjadi satu kesalahan pun kalau Hishammuddin kembali dalam Umno, tapi kena tunjukkan juga usaha itu,” katanya.

Untuk rekod, Ahli Parlimen Sembrong itu digantung selama enam tahun bermula 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan MKT Umno.

Pada Disember tahun lalu, ada gesaan supaya Hishammuddin kembali kepada Umno selepas MKT menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata beliau enggan merayu kerana tidak mengetahui sebab keahliannya digantung.

Difahamkan antara sebab tindakan disiplin dikenakan terhadap beliau kerana usaha menarik 10 ahli parlimen BN untuk menandatangani akuan bersumpah bagi menyokong Perikatan Nasional membentuk kerajaan selepas PRU-15. – 27 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related