HEADLINES

74 persatuan penduduk gesa tangguh bentang RUU Pembaharuan Semula Bandar, perlu kajian mendalam

Draf RUU yang diedarkan pada Februari lalu kekurangan perlindungan untuk kepentingan rakyat dan Ahli Parlimen juga mungkin memerlukan lebih masa untuk mendengar kebimbangan pengundi mereka, kata KLRA+SD

10:29 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – 74 persatuan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakan akademik di Kuala Lumpur (KLRA+SD) meminta pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar yang dijadualkan dibentangkan pada sesi Parlimen bulan depan ditangguhkan.

Pengerusi KLRA+SD, Tan Booi Charn berkata, draf RUU yang diedarkan pada Februari lalu kekurangan perlindungan untuk kepentingan rakyat dan Ahli Parlimen juga mungkin memerlukan lebih masa untuk mendengar kebimbangan pengundi mereka.

Malah, tegas beliau, hanya satu sesi libat urus bersama masyarakat sivil diadakan selepas sidang Parlimen Februari lalu dan ia tidak mencukupi bagi menangani implikasi meluas rang undang-undang tersebut.

“RUU ini tidak sepatutnya dilihat sebagai penyelesaian jangka pendek, tetapi sebagai asas untuk mengawal selia corak transformasi bandar yang dijangka berlaku sepanjang separuh abad akan datang.

“Anda juga (Ahli Parlimen) boleh berbincang dengan pakar berkaitan, menyemak sebarang draf terkini dan merangka prinsip panduan bersama untuk membaiki RUU agar benar-benar bersedia untuk bacaan pertama pada sidang Parlimen yang akan datang.

“KLRA+SD ingin menegaskan pembaharuan semula bandar harus dilihat sebagai komponen utama pembangunan lestari kerana kesannya berpanjangan selama beberapa dekad terutama kepada pusat-pusat penduduk utama negara dan mampu memberi pengaruh besar terhadap perubahan sosial kita.

“Pembaharuan semula bandar akan menjadi suatu kesinambungan dalam landskap bandar kita untuk beberapa dekad akan datang dan ia tidak sepatutnya dilihat penyelesaian jangka pendek, tetapi sebagai asas untuk mengawal selia corak transformasi bandar yang dijangka berlaku sepanjang separuh abad akan datang.

“Ia mesti berasaskan hak dan mengikut pendekatan progresif terhadap penglibatan pemilik dan awam, mencerminkan kematangan masyarakat kita dan tuntutan yang semakin meningkat terhadap tadbir urus awam yang baik.

“RUU ini tidak boleh menjejaskan undang-undang sedia ada yang melindungi hak pemilik dan hak awam secara umum termasuk tetapi tidak terhad kepada hak keutamaan untuk membangunkan semula tanah/hartanah sendiri apabila diarahkan (‘action area’ dalam Akta 267) dan hak kepada proses kelulusan Penilaian Impak Sosial (SIA) yang telus dan adil (Akta 172, pindaan A1522),’’ katanya di sini.

Pada 18 Februari lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilaporkan berkata kementeriannya dijangka membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar pada sesi Parlimen Julai ini.

Baru-baru ini KLRA+SD telah mengemukakan memorandum rasmi kepada semua Ahli Parlimen mengenai kebimbangan itu.

Menurut Booi Charn, meskipun KLRA+SD menyokong pembangunan semula yang adil dan saksama untuk menjuvenasikan kawasan yang usang dan memperbaiki mutu persekitaran tempat tinggal namun ia tidak mencukupi bagi menangani implikasi meluas rang undang-undang tersebut.

“KLRA+SD turut menekankan Malaysia tidak sepatutnya meniru model pembangunan semula berkelompok (en bloc) Singapura tanpa penilaian kritikal, memandangkan konteks undang-undang dan sosial antara kedua-dua negara sangat berbeza.

“Berdasarkan kebimbangan-kebimbangan ini, KLRA+SD menggesa agar Ahli-Ahli Parlimen menangguhkan pembacaan kali pertama rang undang-undang URA, kecuali jika ia dipinda bagi mengintegrasikan perlindungan awam secara menyeluruh,’’ katanya.

KLRA+SD, ujar beliau, telah mengadakan beberapa perbincangan tidak rasmi dengan individu berkelayakan dalam sektor perundingan, penilaian dan pengurusan hartanah untuk mendalami selok- belok proses yang tidak mudah difahami hanya melalui pembacaan draf rang undang-undang.

“Kepada Ahli-Ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah, kami memohon agar pertimbangan diberikan kepada cadangan-cadangan kami berdasarkan merit yang sewajarnya.

“Walaupun rang undang-undang URA mungkin hanya memberi kesan kepada Semenanjung dalam masa terdekat, kami merayu agar anda memainkan peranan yang berwibawa dalam membentuk undang-undang perintis pembaharuan bandar peringkat nasional ini,’’ katanya. – 29 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related