HEADLINES

Fadil Marsus pangku jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman

Ini susulan pertukaran Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bermula pada tarikh sama

2:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Fadil Marsus akan memangku jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman berkuat kuasa esok.

Ini susulan pertukaran Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bermula pada tarikh sama.

Majlis serah terima tugas yang diadakan di Dewan Theatrette, Bukit Aman di sini itu disaksikan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Mohd Khalid dalam ucapannya berkata pelantikan Mohd Shuhaily merupakan satu penghormatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana diberi kepercayaan untuk mengetuai satu lagi agensi yang begitu penting bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terkawal.

“Jadi ini bukan perkara kecil dan saya percaya ia satu amanah berat yang perlu dilaksanakan oleh beliau. PDRM secara terbuka akan memberikan sokongan padu serta tidak berbelah bahagi untuk memastikan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik serta berkesan,” katanya.

Mohd Shuhaily dalam ucapannya pula berkata beliau berterima kasih kepada semua warga PDRM khususnya pasukan JSJ yang memberi dorongan dan sokongan sepanjang satu tahun 11 bulan menggalas jawatan Pengarah JSJ.

“Ini bukanlah selamat tinggal, tetapi jendela baharu dalam kerjaya saya. Sinergi di antara PDRM dan AKPS adalah pemangkin utama untuk menjayakan hasrat kerajaan dalam mengawal sempadan negara,” katanya. – 30 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Court orders MYAirline co-founder to repay over RM8mil to investors

Datuk Allan Goh and four associated companies are directed to return funds after failing to meet financial obligations to 15 investors

FAM dismisses talk of Nacho Mendez joining Harimau Malaya

FAM says it is not pursuing any process involving Mendez and has dismissed speculation linking the Spanish-born player to Harimau Malaya

Jaya Grocer invests RM100 million in Malaysia’s first automated grocery warehouse

Jaya Grocer announces its largest investment yet, a state-of-the-art automated warehouse in Selangor, set to revolutionize supply chain efficiency, create high-skilled tech roles, and support Malaysia's digital economy

Related