HEADLINES

Keputusan rayuan kes Morais tugas terakhir Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara

Tengku Maimun bakal mengakhiri perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara hari ini ketika perdebatan mengenai lanjutan tempoh perkhidmatannya hangat diperkatakan

1:19 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang bakal mengakhiri perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Negara hari ini dijadual mempengerusikan rayuan tujuh lelaki yang disabitkan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais hari ini.

Perbicaraan ini menutup tempoh hampir enam tahun beliau menerajui badan kehakiman, satu era yang menyaksikan mahkamah memainkan peranan penting dalam pelbagai keputusan berimpak tinggi sama ada politik atau perlembagaan.

Terdahulu, Tengku Maimun mengetuai panel lima hakim di Mahkamah Persekutuan dan memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berpelembagaan, sekali gus penganjur tidak memerlukan menghantar notis lima hari kepada pihak berkuasa sebelum perhimpunan dianjurkan.

Tengku Maimun, yang dilantik pada 2019, merupakan wanita pertama memegang jawatan ini. Beliau bersara setelah mencapai usia wajib persaraan iaitu 66 tahun.

Perdebatan mengenai lanjutan perkhidmatan

Isu mengenai pelantikan dan lanjutan tempoh perkhidmatan hakim-hakim tertinggi telah mencetuskan perbahasan dengan sesetengan pihak mempersoalkan ketidakkonsistenan dalam pemberian lanjutan kepada hakim Mahkamah Persekutuan.

Sepanjang perkhidmatannya, Tengku Maimun menerima pujian dan kritikan, khususnya dalam kes-kes yang melibatkan isu agama dan sensitif. Dalam satu temu bual sebelum ini, beliau mendedahkan suaminya pernah dijadikan sasaran serangan peribadi bagi menjejaskan kredibilitinya, termasuk usaha mendesak agar beliau menarik diri daripada kes-kes tertentu.

Pengkritik mendakwa beliau terlalu tegas dalam kes agama, manakala penyokongnya berpendapat beliau berpegang kepada Perlembagaan. Tengku Maimun sering menegaskansetiap keputusannya berlandaskan undang-undang dan menegaskan:

“Saya tidak akan tunduk kepada sesiapa, walau setinggi mana kedudukannya.”

Di bawah Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, Hkim Mahkamah Persekutuan boleh diberikan lanjutan tempoh enam bulan selepas umur persaraan, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong. Walaupun empat hakim dilaporkan menerima lanjutan tersebut, Tengku Maimun dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim tidak menerima lanjutan sama.

Perbezaan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemerhati undang-undang dan politik. Majlis Peguam serta Ahli Parlimen Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ramkarpal Singh antara yang menggesa agar tempoh perkhidmatan Tengku Maimun dilanjutkan, atas dasar kepentingan kesinambungan dan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman.

Namun, ada juga yang mempersoalkan kriteria pemilihan untuk lanjutan, apabila beberapa hakim lain dilanjutkan, tetapi dua jawatan tertinggi dibiarkan tamat tanpa penjelasan.

Keputusan penting sepanjang tempoh beliau:
Rayuan SRC International (2022)
Beliau mengetuai panel yang mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menyelar taktik melengahkan serta menegaskan akauntabiliti pemegang jawatan awam.

Kes Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (2024)
Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 peruntukan undang-undang syariah negeri yang didapati melampaui bidang kuasa perundangan negeri.

SIS Forum lawan Jawatankuasa Fatwa Selangor (2025)
Mahkamah memutuskan fatwa tidak boleh dikenakan ke atas syarikat, sekali gus menetapkan had autoriti agama dalam konteks undang-undang sivil.

Kes penukaran agama anak secara unilateral (2024)
Mahkamah memutuskan ibu bapa perlu memberikan persetujuan, satu keputusan penting dalam perdebatan antara agama.

Perbezaan pendapat dalam kes hasutan Karpal Singh (2019)
Tengku Maimun membantah keputusan majoriti, menyokong kebebasan bersuara dalam konteks politik.

Pendekatan kehakiman
Dalam ucapan dan penghakimannya, Tengku Maimun sering menegaskan semua institusi termasuk badan agama tertakluk kepada Perlembagaan dan beliau percaya dahuluan harus dihormati untuk menjaga konsistensi undang-undang.

Dalam Ucapan Pembukaan Tahun Perundangan 2025, beliau menyeru agar kehakiman mengelak daripada sewenang-wenangnya membuat keputusan dan menekankan bahawa duluan adalah kunci kepada kredibiliti mahkamah.

Beliau juga mempertahankan kebebasan bersuara dalam konteks kebebasan kehakiman. Walaupun mengakui rakyat berhak mengkritik mahkamah, beliau memberi amaran terhadap serangan peribadi yang boleh menjejaskan kepercayaan awam.

Meskipun tidak secara langsung terlibat dalam kes berprofil tinggi M. Indira Gandhi, beliau sering merujuk kes itu dalam penghakimannya kerana ia mengesahkan hak perlembagaan terletak di bawah bidang kuasa mahkamah sivil, khususnya dalam isu agama.

Akhir simbolik
Kes terakhir beliau adalah rayuan pembunuhan Kevin Morais – membawa makna simbolik kerana ia berkait dengan kematian seorang pendakwa raya dalam kes rasuah berprofil tinggi. – 1 Julai 2025

Topics

 

Hangat

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

Putra Ahmad Merrah teruja berlakon, jadi hero kecil dalam filem Rebel arahan Datuk Awie

Putra Ahmad Merrah atau mesra disapa Merrah berkata, pada awalnya tidak menjangka berpeluang membawakan watak hero, Luka yang diterajui Ben Amir sewaktu zaman remaja di dalam filem itu.

[WATCH] GP fee hike may finally end clinic medicine markups: Dr Thirunavukarasu

Malaysian Medical Association president says decades of suppressed consultation rates forced clinics to rely on medicine sales — but warns patients will still bear rising healthcare costs despite long-overdue reforms

Related