KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas bekas doktor tentera, R. Kunaseegaran, 62, atas kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais lapan tahun lalu.
Sementara pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandaran, 54, dipenjara 40 tahun dan S Nimalan, 32, dipenjara 35 tahun dan 12 sebatan.
Manakala tiga yang lain iaitu R. Dinishwaran, 33; A.K. Thinesh Kumar, 32 dan M. Vishwanath, 35 dibebaskan kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Ia merupakan keputusan terakhir yang dibuat sebagai Ketua Mahkamah Persekutuan oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang akan bersara wajib sebagai Ketua Hakim Negara hari ini.
Beliau mempengerusikan panel tiga hakim bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang juga akan bersara pada Rabu dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang.
Keenam-enam mereka dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Julai 2020 selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh Morais dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Mac 2024.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Kevin ketika beliau dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara pukul 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kevin dilaporkan hilang pada 4 September 2015. Beliau sebelum itu dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta, dengan menaiki kereta Proton Perdana.
Mayatnya kemudian ditemukan dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September, tahun yang sama. – 1 Julai, 2025
