◉ HEADLINES

Suri rumah dipenjara 8 tahun, pukul anak angkat dengan lesung batu, toreh dengan pisau

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melakukan khidmat masyarakat selama 40 jam dalam tempoh empat bulan selepas selesai menjalani hukuman penjara

6:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah dipenjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Selangor hari ini selepas mengaku bersalah memukul anak angkatnya menggunakan lesung batu dan kayu serta menoreh badan kanak-kanak perempuan itu dengan pisau.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza memerintahkan wanita yang erusia 54 tahun itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Jun dan tertuduh turut dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melakukan khidmat masyarakat selama 40 jam dalam tempoh empat bulan selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Tertuduh sebagai penjaga didakwa melakukan penganiayaan dengan memukul kanak-kanak berusia 13 tahun itu menggunakan kayu dan lesung batu serta menoreh badan mangsa dengan pisau sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bendahara, Kuala Selangor pada Jun lepas mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang menjaga mangsa sejak bayi telah memukul dan mendera kanak-kanak itu sehingga gigi mangsa patah selain terdapat kecederaan pada tubuh badannya.

Hasil siasatan dan pemeriksaan perubatan mengesahkan terdapat kecederaan fizikal akibat kesan didera.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pencegahan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat, mengambil kira faktor kepentingan awam serta kekerapan kes dera melibatkan kanak-kanak.

“Tertuduh telah melakukan kesalahan serius seperti yang tertakluk di bawah Seksyen 52B Kanun Keseksaan. Saya mohon mahkamah meneliti gambar-gambar kecederaan mangsa yang jelas menunjukkan tertuduh gagal menjalankan tanggungjawab sebagai penjaga.

“Perbuatan tertuduh telah meninggalkan kesan kecederaan fizikal dan mental terhadap anak angkatnya yang kini mengalami trauma,” katanya.

Peguam Khairul Hazwan Rashid Mohd Redduan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili wanita itu memohon hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan atas alasan anak guamnya tidak mampu membayar denda kerana tiada pendapatan dan suaminya kini di dalam penjara akibat kes dadah. – 4 Julai, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Mutiara LRT project kicks off as Penang’s six-year construction timeline begins

SRS Consortium receives notice to proceed with first civil works; RM13 billion project slated for completion by 2031

◉ Related