HEADLINES

Jurang internet di lebuh raya: apa yang sedang dilakukan dan bagaimana ia melibatkan orang ramai

Aplikasi Nexus oleh MCMC mungkin menjadi pemangkin perubahan

3:01 PM MYT

 

GEORGE TOWN — Bayangkan kenderaan anda mengalami kerosakan di tengah kegelapan malam di lebuh raya dan memerlukan bantuan segera – namun telefon anda tidak mempunyai isyarat. Itu senario yang ingin diketepikan oleh kerajaan menerusi usaha berani mewujudkan titik bebas buta, menerusi aplikasi baharu yang dikenali sebagai Nexus.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’ Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) – dan mereka mahu pengguna jalan raya membantu memetakan masalah tersebut.

Inisiatif ini, yang diumumkan pada 1 Julai, masih berada pada peringkat perancangan, dengan lokasi yang belum dimuktamadkan.

Bagaimanapun Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata matlamatnya adalah untuk memasukkan laluan-laluan ini di bawah Fasa 2 program Jalinan Digital Negara (Jendela) kerana ia berkemungkinan memerlukan menara telekomunikasi baharu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (tengah) ketika melawat Menara (MOCN) 4G Enam Hala YES, Tanjung Asam, Pulau Pinang, baru-baru ini. – Gambar Bernama, 9 Julai, 2025

Mengapa keterhubungan tanpa gangguan di lebuh raya itu penting

Pesuruhjaya MCMC, Derek Fernandez, memberitahu Scoop bahawa suruhanjaya itu mengutamakan liputan perkhidmatan mudah alih yang konsisten bagi memastikan pemandu tidak terputus hubungan terutama dalam situasi kecemasan.

“Lebuh raya yang mempunyai titik buta telekomunikasi boleh mendatangkan masalah kepada pengguna yang perlu mendapatkan bantuan kecemasan untuk kerosakan kenderaan atau kecemasan kesihatan,” katanya.

“Apa akan jadi jika kawasan di mana kenderaan anda mengalami kerosakan itu mempunyai isyarat yang sangat lemah dan anda tidak dapat membuat panggilan? Oleh itu, ia boleh membawa kesan yang sangat buruk sekiranya kita tidak dapat menyediakan (liputan telekomunikasi yang baik) memandangkan jalan raya juga merupakan laluan utama perdagangan, perniagaan dan pergerakan orang ramai,” tambahnya.

Derek turut menyatakan syarikat logistik juga bergantung kepada liputan berterusan untuk menjejak dan memantau kenderaan, satu keperluan bagi keselamatan dan kecekapan operasi.

Pesuruhjaya MCMC, Derek Fernandez berkata MCMC mengutamakan liputan mudah alih yang konsisten kepada pengguna lebuh raya. – Gambar fail Scoop, 9 Julai, 2025

Liputan mesti merangkumi kawasan penting di lebuh raya

Ketua Pegawai Komersial Asia Mobiliti, Vicks Kanagasingam, berkata liputan rangkaian perlu memberi tumpuan kepada lokasi penting seperti kawasan rehat dan rawat (R&R), lorong kecemasan, stesen minyak, stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), plaza tol dan pos pemantauan CCTV.

Ketika Malaysia bersedia untuk melaksanakan sistem kutipan tol aliran bebas berbilang lorong (MLFF), Vicks menekankan kepentingan sambungan yang stabil, berlebar jalur tinggi dan berlatensi rendah bagi menyokong pengecaman nombor plat kenderaan secara masa nyata serta pembayaran tol.

“Bagi telematik kenderaan berasaskan IoT, penjejakan dan pemantauan aset logistik (terutamanya rantaian sejuk), liputan telekomunikasi sedia ada di lebuh raya adalah mencukupi.

“Ya, memang ada beberapa jurang tetapi kita tidak memerlukan penstriman masa nyata bagi data GPS dan rakaman video dalam kenderaan,” tambahnya.

Peranan Nexus dalam memetakan titik buta

Bagi menyokong usaha ini, MCMC menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi mudah alih Nexus, yang membantu mengukur kekuatan isyarat internet di sepanjang jalan dan lebuh raya. Dibangunkan dengan input daripada Derek, aplikasi ini menyediakan data masa nyata yang boleh memaklumkan kepada suruhanjaya dan penyedia perkhidmatan tentang kawasan liputan yang lemah.

“Apabila anda mengaktifkan Nexus, ia akan memaklumkan kepada MCMC dan penyedia perkhidmatan mengenai lokasi di mana isyarat lemah atau terputus.

“Apabila semakin ramai pengguna jalan raya mula melakukannya, kita akan memperoleh banyak data dan dapat mengenal pasti kawasan mana yang perlu ditambah baik liputannya supaya keterhubungan menjadi lancar dan berterusan.

“Kita perlu maklumat yang lebih tepat dan sebab itu kita telah (bekerjasama) dengan LLM untuk mempromosikan penggunaan aplikasi Nexus serta meminta pengguna jalan raya turut serta,” kata Derek.

Beliau menambah maklum balas pengguna melalui aplikasi ini boleh membawa kepada penambahbaikan memandangkan aduan akan disalurkan oleh suruhanjaya kepada penyedia perkhidmatan untuk tindakan lanjut.

Scoop menjalankan ujian dengan Nexus

Pada 6 Jun, Scoop menguji aplikasi Nexus di dua lokasi:

Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Seberang Perai Tengah merangkumi kawasan seperti Permatang Pauh, Butterworth dan Juru.

Kawasan luar bandar di Seberang Perai Tengah pula termasuk Sungai Lembu, Kampung Mengkuang Semarak, Penanti dan Kampung Petani di Kubang Semang.

Aplikasi Nexus memberikan bacaan terperinci seperti purata kelajuan muat turun, kelajuan puncak dan keseluruhan kualiti keterhubungan di setiap hentian.

Fernandez berkata aplikasi Nexus bukan sahaja membantu pengguna menilai sama ada mereka menerima kelajuan internet seperti yang dibayar malah turut membantu syarikat telekomunikasi melaras penghantaran rangkaian mereka dengan lebih tepat.

“(MCMC) kini memberi tumpuan kepada pengalaman pengguna sebagai kriteria untuk pelaksanaan internet yang baik. Pembangunan internet yang baik di negara kita bermakna pengalaman pengguna yang baik.

“Tidak lagi (zaman di mana kita) hanya melanggan pelan dan terus menganggap perkhidmatan itu bagus. Ia hanya dianggap bagus apabila anda menggunakannya dan mendapat kelajuan seperti yang dibayar dan dilanggan. Petunjuk seperti ini menunjukkan anda mempunyai pengalaman internet yang baik.”

Lebuh raya mempunyai kawasan titik buta dan menyukarkan pengguna untuk mendapatkan liputan mudah alih terutama jika berlaku kecemasan.

Penggunaan lebih meluas selain lebuh raya

Walaupun Nexus telah terbukti berguna untuk lebuh raya, Vicks percaya aplikasi ini mempunyai potensi yang lebih luas.

Beliau menggesa MCMC agar menggunakannya untuk menilai liputan telekomunikasi di kawasan kediaman dan komersial merentasi kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar, di mana keterhubungan digital masih ketinggalan.

Menutup jurang ini, katanya, adalah penting untuk pendidikan, penjagaan kesihatan, keselamatan makanan dan daya tahan terhadap perubahan iklim.

Sebagai contoh, menara telekomunikasi yang dilengkapi dengan stesen cuaca berasaskan IoT boleh mengumpul data setempat seperti kelajuan angin, jumlah hujan dan kelembapan — dan data ini boleh diakses melalui aplikasi Nexus. Usaha ini, cadang Vicks, boleh direalisasikan melalui kerjasama awam-swasta.

“Menara telekomunikasi akan menyediakan liputan data untuk sekolah serta klinik awam di kawasan tersebut dan data cuaca akan tersedia melalui aplikasi Nexus — untuk digunakan oleh pihak swasta dan awam dalam mengambil tindakan proaktif menangani isu iklim.

“Dengan liputan telekomunikasi di kawasan ini, kita juga boleh melaksanakan penyelesaian IoT ‘Longkang & Sungai Pintar’ yang dihubungkan kepada menara telekomunikasi-stesen cuaca — bagi memantau potensi banjir,” tambahnya. – 9 Julai 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related