HEADLINES

Harap pelantikan hakim kanan padam fitnah, keluh kesah: PM

Perdana Menteri berkata dakwaan campur tangan terbukti meleset selepas berminggu-minggu dikecam

6:15 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap fitnah berkait isu pelantikan hakim-hakim kanan terpadam dengan pelantikan yang diumumkan awal pagi tadi.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai ketua hakim negara.

Selain itu, Datuk Abu Bakar Jais diperkenan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Menurut Anwar, pelantikan berkenaan dibuat melalui proses yang telus termasuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Dakwaan campur tangan katanya terbukti meleset, selepas berminggu-minggu beliau dikecam dan difitnah.

“Saya harap dengan penjelasan ini dan keputusan dibuat Majlis Raja-Raja yang diperkenan oleh Agong maka padamlah fitnah dan keluh kesah yang berlaku sebelum ini,” katanya kepada media, selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Istiqlal, Presint 14, Putrajaya, hari ini.

Mengulas perkembangan lain, Anwar mengumumkan sedia berbincang dengan pimpinan Umno berhubung Titah Adendum membabitkan bekas presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau turut mengambil maklum ramai ketua Umno bahagian membangkitkan isu tersebut baru-baru ini.

“Saya sedia mengadakan perbincangan dengan mereka, memberi penjelasan sekiranya perlu atau melakukan apa yang baik untuk menjaga keharmonian,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar turut menegaskan nama Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh tidak pernah diusulkan bagi jawatan Ketua Hakim Negara.

“Ada kononnya nama-nama yang ditonjolkan, saya boleh sebutlah Terrirudin, seorang mantan Peguam Negara yang banyak menjalankan tugas dengan cemerlang dan sekarang Hakim Mahkamah Persekutuan.

“Tetapi kerana beliau punya banyak tahun lagi, nama beliau tidak pernah pun diusulkan.

“Jadi dari mana (timbul tohmahan)? Hanya dari sebaran daripada kalangan tokoh tokoh peguam yang berpolitik. Saya tidak fikir ini gesaan daripada semua. Jadi saya harap dengan ini menjernihkan keadaan,” katanya.

Justeru, beliau menggesa supaya budaya fitnah, mencerca dan mengecam tanpa merujuk kepada fakta, dihentikan. – 18 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Subsidised RON95: how cheap is Malaysia’s fuel compared to neighbours?

There has been a spate of viral videos showing vehicles from neighbouring countries such as Thailand and Singapore being filled with Malaysia's heavily subsidised RON95 petrol, indicating a blatant disregard for local laws.

Related