NEW YORK: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat teknologi berpangkalan di New York, Astronomer, Andy Byron meletakkan jawatan selepas klip video memaparkan dirinya sedang berpelukan dengan seorang kakitangan eksekutifnya ketika menyaksikan konsert Coldplay tular.
Dalam kenyataan yang dikongsikan kepada CNN semalam, Lembaga Pengarah Astronomer memaklumkan telah menerima peletakan jawatan Byron dan kini sedang menjalankan proses pencarian calon pengganti untuk mengetuai syarikat tersebut.
Insiden itu berlaku di Stadium Gillette, Foxborough, Massachusetts Rabu lalu apabila Byron dan Ketua Pegawai Sumber Manusia syarikat berkenaan, Kristin Cabot, kelihatan bersama di skrin ‘kiss cam’ sebelum kedua-duanya dilihat segera mengelak dari pandangan kamera.
Susulan penularan video itu, beberapa dakwaan yang kononnya datang daripada Byron tersebar di media sosial.
Bagaimanapun, Astronomer dalam kenyataan terdahulu di LinkedIn menafikan Byron ada mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dan menyifatkan laporan yang menyatakan sebaliknya sebagai tidak benar.
Syarikat itu turut menafikan identiti individu ketiga yang dilihat dalam video berkenaan, selepas berlaku kekeliruan dalam kalangan netizen.
CNN setakat ini belum berjaya mendapatkan sebarang maklum balas daripada Byron.
Dalam kenyataan semalam, syarikat itu menegaskan komitmen terhadap nilai dan budaya kerja yang telah menjadi asas sejak ia ditubuhkan pada 2018.
“Pemimpin kami diharapkan menjadi contoh dalam tingkah laku dan akauntabiliti, namun standard itu tidak dicapai dalam insiden baru-baru ini,” kata syarikat berkenaan.
Astronomer yang memfokus dalam penyelesaian data dan kecerdasan buatan (AI) turut mengakui, insiden ini telah menyebabkan nama syarikat mendapat perhatian luar jangka, namun tetap berpegang pada misi asal.
Kelmarin, syarikat itu mengumumkan bahawa pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Produk, Pete DeJoy akan memangku jawatan CEO buat sementara waktu.
Susulan pengumuman itu, akaun LinkedIn Byron tidak lagi boleh diakses secara umum, manakala namanya juga telah digugurkan daripada halaman kepimpinan syarikat.
Namun begitu, beliau masih disenaraikan sebagai ahli Lembaga Pengarah di laman web rasmi Astronomer. – 20 Julai, 2025
