KUALA LUMPUR – Usaha Bersatu untuk menubuhkan barisan rentas parti dalam kalangan parti pembangkang disifatkan hanya membuang masa malah tidak akan mampu menarik sokongan bukan Melayu yang amat diperlukan Perikatan Nasional (PN).
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, malah parti-parti ‘kecil’ yang menyertai perbincangan bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menambah nilai dari segi kekuatan kepada gabungan pembangkang itu.
“Bagi saya kalau Bersatu nak tambah sekutu politik carilah yang masih ada kekuatan, barulah memberi kejutan dan nilai tambah kepada momentum PN atau gabungan rentas parti.
“Misalnya MIC dan MCA yang masih ada sokongan di beberapa kawasan dan masih mempunyai kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri.
“Jika Bersatu ingin meneroka undi atau meraih sokongan segmen pengundi bukan Melayu, Bersatu perlu kenalpasti parti berpotensi bukan main tangkap muat untuk menggambarkan gabungan tersebut mewakili parti berbilang kaum.
“Di sini juga membuktikan Gerakan dan Parti India Rakyat Malaysia (MIPP) telah gagal membantu PN selama ini untuk meraih undi bukan Melayu
“Sehingga menyebabkan Bersatu perlu mencari sokongan dari parti parti politik lain bagi mewujudkan gabungan rentas parti berbilang kaum,” katanya kepada Scoop hari ini.
Beliau berkata, Bersatu telah memilih strategi yang silap apatah lagi mesyuarat berkenaan tidak dihadiri oleh pemimpin utama atau wakil PAS.
“PAS telah menghantar isyarat jelas bahawa mereka tidak bersetuju atau tidak berminat dengan pendekatan Bersatu tersebut dan peringatan tegas bahawa PAS boleh bergerak dalam PRU tanpa Bersatu.
“Malah PAS juga mungkin tidak merestui tindakan Bersatu tersebut kerana bagi mereka PN sudah cukup menggambarkan gabungan berkenaan mewakili rentas kaum iaitu ada PAS, MIPP, Gerakan dan Bersatu,” katanya.
Jumaat lalu, Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan seramai 11 ketua parti blok bukan kerajaan bagi membincangkan cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti dalam kalangan parti pembangkang.
Beliau berkata, cadangan itu bertujuan untuk memperkukuhkan peranan semak dan imbang parti-parti pembangkang di dalam dan di luar Parlimen.
Ketua parti yang hadir pertemuan itu termasuklah pemangku Presiden Muda, Amira Aisya, Timbalan Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (PSM), S Arutchelvan.
Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali dan Presiden Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy.
Bagaimanapun, pertemuan berkenaan mencetuskan polemik apabila tiada wakil PAS terlibat, namun Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad menjelaskan pemimpin parti itu tidak dapat hadir kerana terikat dengan program lain di Kedah, meskipun maklum berkenaan pertemuan terbabit.
Sementara itu Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, cadangan penubuhan pembangkang rentas parti itu tidak akan berjaya kerana dibayangi kesangsian orang bukan Melayu terhadap ideologi PAS yang ekstrem.
“Jadi tujuan utama perbincangan adalah untuk menarik parti-parti kecil ini duduk semeja dengan Bersatu tanpa kehadiran PAS.
“Tapi dalam pelan besar, bila parti-parti ini bersetuju dengan cadangan itu, PAS akan turut serta tapi atas sebab khidmat mereka atau keanggotaan dalam PN.
“Jadi dalam hal ini mahu tidak mahu, komposisi pembangkang rentas parti ini akan dibayangi oleh PAS secara tidak langsung, sebab itu saya katakan sukar untuk ianya berjaya, kerana paling penting adalah untuk menarik pengundi bukan Melayu.
“Pengundi bukan Melayu ini mereka berasa sangsi terhadap PAS, sebab atas pandangan ekstrem itu, sebab itu PN gagal untuk tubuh kerajaan Persekutuan.
“Sebab itu penubuhan pembangkang rentas parti ini juga akan gagal, mungkin mula nampak elok, ada persetujuan, tapi bila hendak dekat pilihan raya, umpamanya bagi pembahagian kerusi, PAS akan menjadi dominan dan di situlah akan menggoyangkan kerjasama pembangkang rentas parti ini,” katanya. – 20 Julai, 2025

