KOTA BHARU – Tiga lelaki termasuk dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) didenda berjumlah RM11,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memiliki gambar dan video lucah selepas ditahan dalam serbuan di sebuah kediaman di Kemumin, pada 18 Jun lalu.
Tertuduh Mohd Hanafi Ibrahim, 47, didenda RM3,000 manakala Muhammad Al Azamuddin Al Fadzil, 22, dan Mohamad Syahmi Firas Mohd Jurij, 27, masing-masing didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Mohd Izzat Wan Abdullah.
Semua tertuduh diwakili peguam, Samantha Chong Yin Xin.
Mengikut kertas pertuduhan yang dibaca secara berasingan, semua tertuduh didakwa memiliki gambar dan video lucah dalam telefon bimbit masing-masing.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kemumin, Kampung Pulau Belacan, Panchor, di sini, pada jam 1.15 pagi, 18 Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah dan Nur Haziqah Hassan.
Terdahulu, Muhamamd Nadzir dan Nur Haziqah memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat awam kerana tindakan itu tidak bermoral dan bertentangan dengan norma awam.
Samantha pula memohon anak guamnya dikenakan denda minimum kerana sudah insaf dan berjanji akan berubah.
“Mohd Hanafi mempunyai masalah kesihatan otak serta pernah menjalani pembedahan kepala pada 2016 dan kini ditanggung kakaknya.
“Muhammad Al Azamuddin adalah penuntut universiti tahun pertama dan Mohamad Syahmi Firas adalah penuntut akhir di politeknik.
“Mereka berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu dan keluarga berjanji akan membimbing mereka ke jalan yang benar selepas ini,” katanya, lapor BH.
Jika gagal membayar denda, mereka perlu menjalani hukuman penjara enam bulan.
Mengikut laporan sebelum ini, polis menyerbu pertemuan kumpulan di sebuah banglo di Jalan Kemumin, di sini, yang dipercayai disertai hampir 100 lelaki.
Serbuan dibuat hasil risikan dan maklumat awam pada jam 1 pagi pertengahan bulan lalu itu menahan 20 lelaki selain merampas ratusan kondom dan ubat HIV.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, dalam satu kenyataan hari ini meminta polis melakukan siasatan menyeluruh berhubung serbuan ke atas satu perjumpaan di Kemumin, Kota Bharu bulan lalu bagi mengelak salah faham.
Beliau tidak mahu ada pihak menjadi mangsa salah faham, fitnah atau hukuman masyarakat sebelum kebenaran ditentukan.
Semalam media melaporkan, Majlis AIDS Malaysia (MAC) menjelaskan, pihaknya mengadakan sesi mendekati komuniti berisiko tinggi sebagai pencegahan HIV di sini pada 17 Jun lalu sebelum diserbu pihak polis. – 20 Julai, 2025
