HEADLINES

Penunggang motosikal cedera terjerut tali layang-layang: DBKL ambil tindakan ke atas penjual tanpa lesen

Insiden berkenaan mencetuskan kemarahan ramai dengan Ahli Parlimen Kepong mahu tindakan penguatkuasaan diambil segera

6:27 PM MYT

 

KUALA LUMPUR –  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjual layang-layang yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di Taman Tasik Metropolitan Kepong selepas insiden seorang penunggang motosikal cedera di leher selepas terjerut tali layang-layang.

Berikutan insiden yang tular di media sosial itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata pihaknya menerima banyak aduan berhubung kejadian berkenaan.

“Kita mengambil serius perkara ini. Banyak aduan telah diterima sejak video tersebut tersebar pagi ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa peniaga layang-layang beroperasi di kawasan tersebut tanpa lesen dan tindakan akan diambil serta-merta terhadap mereka.

“Langkah juga sedang diambil untuk mengelakkan kejadian sama berulang. Aktiviti bermain layang-layang akan dihadkan kepada zon yang ditetapkan di sekitar tasik dan dijauhkan daripada jalan utama,’’ katanya kepada Scoop, hari ini.

Maimunah menambah DBKL akan mempertingkatkan rondaan di taman berkenaan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga tanpa lesen demi menjaga keselamatan awam.

Dalam kejadian pagi ini, seorang penunggang motorsikal cedera selepas lehernya terjerut tali layang-layang ketika melalui Lebuhraya MRR2, berhampiran Taman Tasik Metropolitan, Kepong.

Menerusi video 53 saat yang kini tular di media sosial, lelaki berkenaan kelihatan trauma dan turut menunjukkan kesan melecet di lehernya.

Dia juga meminta supaya tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab kerana perkara berkenaan boleh mendatangkan ancaman maut kepada penunggang motorsikal.

Video tersebut telah mencetuskan kebimbangan mengenai penggunaan tali “gelasan” iaitu tali yang biasanya dibuat dari tali nilon dan digunakan dalam pertandingan layang-layang untuk memutuskan tali lawan — yang boleh menyebabkan kecederaan serius kepada orang awam dan kerosakan kepada kenderaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membidas pihak berkuasa kerana lambat mengambil tindakan terhadap aktiviti bermain layang-layang berhampiran lebuh raya MRR2 sehingga menjadi isu keselamatan.

“Bermain layang-layang adalah aktiviti sihat namun ia memerlukan kawasan terbuka yang sesuai, bukan di tepi jalan. Aktiviti bermain layang-layang di tepi lebuh raya MRR2 ini sudah berlaku lebih satu dekad.

“DBKL mempunyai pejabat berhampiran, dan kondominium PPA1M Metropolitan Kepong yang terletak bersebelahan taman menempatkan sekurang-kurangnya 200 pegawai DBKL. Saya percaya mereka menyaksikan aktiviti ini setiap hujung minggu.

“Tapi perlu tunggu video tular baru nak bertindak. Pagi ini saja, saya terima dua mesej WhatsApp dan lebih 10 hantaran berkaitan video yang sama.

“Saya bukan hanya menyalahkan DBKL. Semua agensi kerajaan sepatutnya ambil pendekatan proaktif. Kalau anda penjawat awam, tanggungjawab anda adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Peniaga layang-layang ini mesti dihentikan. Saya pun tak pasti mereka ada permit atau tidak. Mereka tidak sepatutnya dibenarkan berniaga layang-layang di tepi MRR2. Pindahkan mereka ke tempat lain,’’ katanya. – 21 Julai 2025

Topics

 

Hangat

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Related