KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang telah menitipkan pesanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai beberapa perkara membabitkan rakyat termasuk langkah menangani kos sara hidup, menaikkan harga lantai padi serta pertimbangkan pengeluaran sejumlah wang pada akaun satu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Kumpulan yang diketuai oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim itu membuat gesaan berkenaan menjelang pengumuman penghargaan oleh Perdana Menteri esok .
Menurut Shahidan, dalam suasana harga minyak global yang mengalami penurunan, sewajarnya Malaysia juga menurunkan harga minyak.
“Apabila harga minyak mentah dunia turun, sewajarnya Malaysia juga menurunkan harga minyak. Ia juga beerti semua kos pengeluaran boleh turun.
“Kami menuntut harga barang turun, minyak turun dan kerajaan menangani kos sara hidup rakyat,’’ katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Pada Selasa, niaga hadapan minyak mentah Brent susut lebih 1% kepada sekitar AS$65.3 (RM289.02) setong berikutan ketidaktentuan berterusan dalam rundingan perdagangan yang menimbulkan kebimbangan terhadap unjuran permintaan.
Shahidan juga meminta Anwar mengambil kira mengenai harga lantai belian padi, supaya dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,800 bagi setiap tan metrik.
“Memandangkan harga minyak turun, kos pengurusan padi turun, boleh la harga lantai belian padi naik,’’ katanya.
Pada masa sama, Shahidan berkata, rakyat memerlukan tunai justeru beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan agar sejumlah wang dari akaun satu dimasukkan ke akaun tiga.
“Minta kerajaan pertimbang masuk akaun satu ke akaun tiga – contohnya dicadangkan RM50,000. Sekali ini sahaja. Rakyat tengah susah, kalau diturunkan harga minyak kesannya belum sampai kepada rakyat sedangkan rakyat memerlukan tunai,’’ katanya.
Terdahulu, Anwar berkata pengumuman yang akan dibuat pada jam 10.30 pagi esok merupakan penghargaan yang dijanjikan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Madani kepada rakyat yang sentiasa teguh bersama dalam setiap langkah reformasi.
Menurut beliau, pengumuman itu juga diharap dapat memberikan manfaat kepada rakyat terbanyak, selain cerminan untuk membina masa depan yang lebih adil dan sejahtera.
Pengumuman itu akan disiarkan secara langsung serentak menerusi media utama negara. – 22 Julai, 2025
