SUBANG JAYA – Pelaksanaan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sejak 1 Julai lalu telah memberi impak ketara kepada kos operasi pengusaha pasar raya.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, peningkatan kos itu khususnya bagi premis bangunan yang disewa, sekali gus memaksa mereka memindahkan sebahagian beban kos kepada pengguna.
“Kebanyakan pengusaha terkesan, ambil contoh bagi mereka yang ada banyak premis sewa, kenaikan sewa hingga lapan peratus, jadi kenaikan kos ini ditampung dengan cara perlu menaikkan harga barangan.
“Walaupun kadar kenaikan harga barang akibat SST dianggarkan sekitar 1.25 peratus, kesan berangkai terhadap barangan import termasuk alat tulis dan keperluan sekolah tetap memberi tekanan kepada pengguna, terutama golongan berpendapatan rendah.
“Saya berharap kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan SST, terutama terhadap barangan asas dan keperluan pendidikan agar tidak membebankan rakyat,” katanya pada Sidang Media Kempen Pilihan Raya Mydin 2025 di sini hari ini.
Berkuatkuasa 1 Julai lalu, skop cukai perkhidmatan diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Terdahulu, Mydin memperkenalkan kempen pemasaran berkonsepkan pilihan raya sebagai pendekatan inovatif untuk menarik perhatian pengguna sambil mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan jenama barangan di pasar rayanya.
Sebanyak 26 kerusi Parlimen dan 85 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan, yang mana jenama meraih undian tertinggi akan bergelar YB (Yang Berharga).
Setiap pembelian satu unit produk daripada jenama yang mengambil bahagian di mana-mana cawangan Mydin akan dikira sebagai satu undi secara fizikal.
Ameer berkata, pendekatan itu bukan sekadar promosi biasa, sebaliknya mewujudkan suasana kompetitif yang menggalakkan jenama menawarkan produk berkualiti pada harga mampu milik demi memastikan mereka mendapat tempat di hati pengguna.
Katanya, antara tawaran menarik yang diperkenalkan termasuk pembelian barangan bernilai RM100 yang melayakkan pelanggan menikmati pelbagai hadiah tambahan.
“Antaranya pelanggan boleh mendapatkan minuman coklat berjenama dengan harga RM10, beras lima kilogram pada harga jauh lebih rendah, dan periuk nasi elektrik serendah RM50,” katanya.
Kempen yang berlangsung dari 24 Julai hingga 6 Oktober itu turut menawarkan ganjaran keseluruhan bernilai RM6.8 juta kepada pelanggan. – 22 Julai, 2025

