HEADLINES

LKAN: Gagal patuh prosedur perolehan 3 tender RM58.45 juta, 11 anggota jawatankuasa tender UKM kena tindakan

Tindakan diambil ke atas 11 anggota jawatankuasa berkenaan kerana mereka 'membuat keputusan bersama' jadi dihukum bersama

9:02 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Semua 11 anggota Jawatankuasa Perolehan Tender Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dikenakan tindakan punitif (berat) susulan kegagalan mematuhi prosedur ditetapkan dalam tiga daripada tujuh tender berjumlah keseluruhan RM58.45 juta.

Sumber memberitahu Scoop, jawatankuasa siasatan dalaman Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendapati berlaku pelanggaran prosedur dalam dua atau tiga daripada isu yang dibangkitkan itu.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan bentuk tindakan yang diambil, sama ada digantung tugas, dipindahkan atau meletak jawatan.

“Disebabkan kesemua mereka “membuat keputusan bersama”, jadinya (mereka) dihukum bersama,” katanya kepada Scoop hari ini.

Difahamkan bekas Naib Canselor UKM, Prof Datuk Mohd Ekwan Toriman bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perolehan Tender berkenaan ketika itu.

Pada Isnin, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendedahkan Jawatankuasa Perolehan Tender universiti itu tidak mengikut prosedur ditetapkan dengan melantik syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan Jawatankuasa Pra Tender.

LKAN 2/2025 mendedahkan tiga daripada keseluruhan tujuh tender perolehan UKM  tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Menurut laporan itu,Jawatankuasa Perolehan Tender memilih syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan Jawatankuasa Pra Tender.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa Naib Canselor, selaku Pengerusi Jawatankuasa Perolehan bertanggungjawab memastikan operasi universiti dan tadbir urus perolehan berjalan dengan teratur, selaras dengan subseksyen 12(3) Perlembagaan UKM serta prinsip duty of care.

Menurut laporan itu, UKM juga didapati tidak melantik wakil Kementerian Kewangan (MoF) sebagai ahli Jawatankuasa Perolehan, manakala wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dilantik tidak hadir dalam mesyuarat berkaitan tiga tender berkenaan.

Antara ketidakpatuhan yang dikenal pasti termasuk pemilihan syarikat pembekal peralatan Linear Accelerator (LINAC) yang tidak memenuhi spesifikasi integrasi dengan sistem sedia ada (ARIA), serta membawa syarikat yang gagal di peringkat teknikal dalam perkhidmatan sajian makanan ke peringkat tender akhir.

Laporan turut mendedahkan bahawa terdapat pemberian tender kepada syarikat yang tersenarai sebagai projek sakit bagi kerja penggantian lif, selain mengetepikan syor tiga jawatankuasa penilaian utama.

Keputusan tersebut menyebabkan tender diberikan kepada syarikat yang tidak berkeupayaan memenuhi kontrak dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dijangka memberi maklum balas dan penjelasan di Parlimen, hari ini mengenai LKAN 2/2025 yang mendedahkan tiga perolehan tender UKM tidak mematuhi prosedur.

Beliau akan memberikan maklum balas berhubung perkara itu pada sesi soal jawab di Parlimen pada Rabu ini. – 22 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

White flags to whitewashing KL: stop harmful myths against homelessness – Maya Zaharudin

From labelling the unlucky as lazy to blaming NGOs, rakyat must stop pointing fingers and rally for better policy and collective action

PAS urges calm amid rising religious tensions in Malaysia

PAS secretary-general Takiyuddin Hassan calls for wisdom, restraint and responsible discourse following disputes involving Hindu organisations and Muslim individuals

Police to wrap up sedition probe into Tony Pua in a week

Investigations into former lawmaker Tony Pua for sedition will take about a week more, Inspector-General of Police Tan Sri Razarudin Husain said today.

Related