KUALA LUMPUR – Dianggarkan lebih 100,000 penduduk Thailand dipindahkan di sepanjang sempadan Kemboja susulan pertempuran tentera paling sengit antara kedua-dua negara sepanjang tempoh lebih sedekad.
Kementerian Dalam Negeri berkata, 100,672 penduduk dari empat wilayah di sempadan sudah dipindahkan ke pusat perlindungan, manakala Kementerian Kesihatan mengumumkan jumlah kematian meningkat kepada 14 orang.
Timbalan Jurucakap Tentera Thailand, Ritcha Suksuwanon, berkata tentera Kemboja melepaskan tembakan roket dan peluru artileri ke arah Thailand semalam, manakala tentera udara Thailand menghantar jet F-16 untuk melancarkan serangan udara.
“Enam jet pejuang tentera udara Thailand dikerah dan membedil dua sasaran ketenteraan Kemboja di darat,” katanya.
Pertempuran itu menandakan peningkatan ketara dalam persengketaan jangka panjang antara dua negara jiran yang juga destinasi pelancongan popular berhubung kawasan dikenali sebagai ‘Emerald Triangle’ atau Segitiga Zamrud, di mana sempadan Thailand, Kemboja dan Laos bertemu.
Pertikaian yang berlarutan selama beberapa dekad itu pernah mencetuskan pertempuran berdarah lebih 15 tahun lalu dan sekali lagi pada Mei lalu apabila seorang askar Kemboja terbunuh dalam kejadian tembak-menembak.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata enggan mengulas lanjut dan belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai jumlah korban di pihak mereka.
AFP melaporkan penduduk Kemboja mula melarikan diri dari kampung mereka yang terletak berhampiran sempadan Thailand untuk menyelamatkan diri.
Menurut sumber diplomatik AFP, atas permintaan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka mengadakan mesyuarat tergempar pagi ini bagi membincangkan pertelingkahan itu.
Kesatuan Eropah dan China iaitu sekutu rapat Phnom Penh selain Amerika Syarikat dan Perancis juga bekas penjajah Kemboja turut menyatakan kebimbangan terhadap konflik itu dan menggesa dialog diadakan segera.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Thailand dan Kemboja menghentikan tindakan ketenteraan serta segera kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
Menyifatkan konflik terbaharu antara tentera Thailand dan Kemboja awal pagi ini sebagai amat membimbangkan, Anwar berharap beliau dapat berbincang dengan pemimpin kedua-dua negara hari ini bagi menzahirkan pandangannya secara terus.
“Kedua-dua negara adalah anggota ASEAN yang penting dan mereka amat akrab dengan Malaysia. Saya telah berhubung dengan kedua-dua Perdana Menteri.
“Kita berharap sekurang-kurangnya kedua-dua pihak dapat menghentikan serangan dan mudah-mudahan mereka bersedia untuk memulakan rundingan damai,” katanya. – 25 Julai, 2025
