KUALA LUMPUR – Dengan hanya 2.8 juta berdaftar di bawah MyDigital ID, sistem digital berkenaan memerlukan masa yang panjang untuk meraih kepercayaan rakyat Malaysia, kata pengerusi Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI), Dr Helmy Haja Mydin.
Menurutnya, kebanyakan rakyat Malaysia tidak memahami bagaimana sistem MyDigital ID berfungsi dan manfaat yang ditawarkan kepada mereka justeru kerajaan perlu pertimbang sebelum menggubal akta mewajib rakyat mendaftar.
Jelasnya, walaupun perundangan mungkin diperlukan dalam jangka masa panjang namun paksaan yang terlalu awal berisko menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sebuah platform nasional yang sepatutnya bersifat transformatif.

“Kita tidak boleh lupa bahawa kepercayaan rakyat mesti diperoleh, bukannya dianggap wujud secara automatik.
“Sistem identiti digital mampu membawa manfaat yang besar tetapi hanya jika rakyat percaya bahawa sistem itu selamat, berkesan dan berpihak kepada kepentingan mereka. Memaksa sebelum keyakinan dibina berisiko meruntuhkan sistem yang sedang kita usahakan
“Walaupun MyDigital ID direka untuk mengesahkan identiti seseorang dan menghubungkan pengguna kepada pelbagai perkhidmatan digital, kesedaran orang ramai tentang fungsinya masih terhad.
“Usaha komunikasi yang lebih tertumpu untuk menerangkan peranannya dan kegunaan praktikal seperti akses selamat kepada bantuan kerajaan, pendidikan, atau kemudahan kewangan akan menjadi amat penting untuk mendapatkan sokongan rakyat,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menggubal akta bagi menggalakkan atau mewajibkan rakyat mendaftar MyDigital ID.
Ini kerana, katanya, berlaku kekangan bagi memastikan rakyat Malaysia mendaftar MyDigital ID berikutan ia bersifat sukarela sehingga kini.
Dr Zaliha berkata, sehingga suku kedua tahun ini, kira-kira 2.8 juta rakyat Malaysia sudah mendaftar dengan MyDigital ID sekali gus meningkat sebanyak sejuta berbanding suku pertama 2025.
Mengulas lanjut, Helmy berkata, rakyat perlu dibiarkan melihat sendiri bagaimana MyDigital ID memudahkan kehidupan sama ada untuk mengakses subsidi, membayar cukai atau berurusan dengan bank.
“Apabila identiti digital dilihat sebagai sesuatu yang membantu, rakyat akan menerimanya tanpa perlu dipaksa,’’ katanya.
SERI, ujar Helmy, turut menekankan bahawa undang-undang tidak seharusnya menjadi pilihan utama kerana paksaan boleh membawa kesan yang bertentangan sebelum rakyat benar-benar memahaminya.
Tegasnya, dengan menjanjikan terlalu banyak inisiatif digital tanpa menyampaikan pengalaman yang lancar dan boleh dipercayai, ia bukan sahaja berisiko gagal malah boleh merosakkan kepercayaan serta kredibiliti politik dalam jangka panjang.
Contohnya, kata beliau adalah Pangkalan Data Utama (Padu) yang memberi pengajaran yang berguna di mana pada awalnya ia mendapat sambutan yang positif.
Bagaimanapun, isu seperti ketepatan data, kemudahan penggunaan dan penyelarasan antara agensi telah menjejaskan keyakinan terhadap inisiatif yang pada asalnya diharapkan menjadi tonggak reformasi negara.
“Kelemahan ini telah menjadikan ramai rakyat Malaysia semakin skeptikal terhadap platform digital dan sesuatu yang perlu diberi perhatian serius oleh pembuat dasar dalam usaha mereka mendorong penggunaan MyDigital,’’ katanya.
Justeru, bagi membina kepercayaan dan menggalakkan pendaftaran secara sukarela, SERI mencadangkan beberapa langkah iaitu elakkan penggubalan undang-undang secara tergesa-gesa untuk mewajibkan pendaftaran, memberikan kesedaran dan pendidikan mengenai manfaat MyDigital ID, memastikan kebolehpercayaan dan ketahanan platform serta integrasi perkhidmatan yang bermakna.
“Selain itu langkah lain ialah memudahkan kebolehoperasian sistem antara kementerian, sediakan pilihan persetujuan yang bermakna termasuk pilihan untuk tidak mengambil bahagian dalam perkhidmatan yang tidak penting dan bekerjasama dengan masyarakat serta rangkaian komuniti untuk meningkatkan keterangkuman dan literasi digital di seluruh negara,’’ katanya.
Helmy memberitahu, Malaysia mempunyai peluang untuk menjadi peneraju dalam tadbir urus digital yang bertanggungjawab namun ia mesti melakukannya dengan berhati-hati.
“Matlamatnya bukanlah pendaftaran besar-besaran tanpa mengira kesan, tetapi membina satu sistem yang dipercayai dan dipilih sendiri oleh rakyat untuk digunakan,’’ katanya. – 26 Julai, 2025
