HEADLINES

Setiap kampung Felda dapat RM100,000, penduduk bebas tentukan projek: PM

Anwar berkata penduduk diberikan kebebasan untuk menentukan sendiri projek di kampung mereka

5:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM100,000 bagi setiap kampung di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk melaksanakan projek pembangunan yang ditentukan sendiri oleh penduduk setempat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan memberikan kebebasan kepada penduduk kampung menentukan sendiri projek pilihan mereka itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani yang menekankan prinsip musyawarah dan pemerkasaan rakyat.

“Saya sudah sediakan peruntukan, setiap kampung Felda diberikan RM100,000 untuk mereka tentukan projek apa yang mereka nak lakukan.

“Ini bukan pengurusan (Felda) yang tentukan projek apa nak buat. Nak beli apa, traktor? Nak buat kolam ikan? Nak beli dron? Saudara sendiri putuskan apa yang nak beli, saya sediakan RM100,000 bagi setiap kampung,” katanya pada majlis perasmian Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab besar untuk mengangkat martabat negara dan menunaikan amanah kepada rakyat termasuk warga Felda, selari dengan prinsip Kerajaan MADANI.

Beliau berkata pelbagai usaha dan janji telah dilaksanakan sepanjang tiga tahun kerajaan memerintah termasuk menjaga kebajikan peneroka menerusi penubuhan pusat dialisis di setiap kawasan Felda. 

Dalam konteks pendidikan pula, Anwar berkata lebih 1,000 sekolah angkat telah diwujudkan dengan kerjasama syarikat korporat dan badan berkaitan kerajaan (GLC) termasuk sekolah di kawasan Felda yang menerima manfaat bersama. 

“Kalau orang tanya…kamu ada kuasa, masa inilah buat kerja, masa inilah berikan sebaiknya kepada rakyat. Jangan masa ada kuasa, sakau sana sini (untuk) kayakan anak menantu. Kemudian bila hilang kuasa (kamu minta) Anwar turun.

“Saya belajar satu perkara. Kalau nak buat, masa kita ada kuasa. Jangan berleter mengeluh masa kita dah ditendang oleh rakyat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan kementerian berkaitan yang terlibat secara langsung dalam membangunkan komuniti Felda. 

“Di bawah Kerajaan MADANI, semua kementerian, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, semuanya mesti ambil tanggungjawab mengangkat kehidupan dan kemudahan yang ada di Felda,” katanya. – 2 Ogos, 2025

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

China break up Olympic champions to groom future stars

Olympic gold medallist Jia Yi Fan now partners Zhang Shu Xian in a bold move to mentor rising talent, as China strengthen their grip on women’s doubles badminton

Related