KUALA LUMPUR – Perbincangan isu Laut Sulawesi mesti berlandaskan undang-undang, sejarah dan sebarang keputusan memerlukan persetujuan kerajaan negeri Sabah serta Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah beliau berkata, dalam perbincangan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto baru-baru ini, rundingan mengenai Laut Sulawesi turut dijalankan dengan kehadiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Anwar turut memberi jaminan tidak akan membenarkan walau seinci tanah atau laut Sabah diceroboh atau dituntut oleh sesiapa.
Kerajaan Persekutuan, katanya mempertahan dan melindungi sepenuhnya hak Sabah kerana ia sebahagian dari Malaysia.
“Dalam memutuskan isu sempadan mesti melibatkan kerajaan negeri termasuk kerajaan negeri Sabah. Tapi ini tidak menghentikan soal fitnah. Saya fikir lebih baik Ketua Menteri (Sabah) dengar sendiri dan kemukakan pandangan.
“Ini soal dua negara. Indonesia itu negara sahabat. Presiden Probowo itu sahabat peribadi saya, sahabat keluarga. Saya mahu hubungan itu baik, selesai masalah sempadan dengan Sarawak,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNK) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.
Selasa lalu, Anwar dan Prabowo mengadakan pertemuan rasmi sempena Rundingan Tahunan Ke-13 Malaysia-Indonesia yang berlangsung di Istana Merdeka, di Jakarta.
Dalam pada itu, Anwar berkata Kerajaan juga komited dalam memacu pembangunan Sabah serta menyelesaikan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi pelbagai inisiatif dan peruntukan, sambil menekankan kepentingan untuk terus memelihara hubungan erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata antara tuntutan yang telah diselesaikan termasuk pemberian khas interim untuk Sabah yang dinaikan daripada RM300 juta kepada RM600 juta tahun ini dan peruntukan RM10 bilion bagi menyiapkan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.
“Tertangguh (Lebuh Raya Pan Borneo Sabah) dengan kerajaan sebelum ini tetapi kita teruskan bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Mungkin mereka belum nampak, belum siap (Lebuh Raya Pan Borneo Sabah), tapi sekurang-kurangnya kita dah luluskan dan pakej kerja berjalan,” katanya. – 3 Ogos, 2025
