KUALA LUMPUR – Seorang saksi utama dalam kes perbicaraan rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang membabitkan Lim Guan Eng cedera diserang sekumpulan 10 lelaki yang menceroboh kediamannya dekat Petaling Jaya, di sini, hari ini.
Menurut sumber, mangsa mengalami kecederaan pada muka dan tangan selepas penyerang memecah masuk ke dalam kediamannya.
Difahamkan, penyerang bertindak mengikat dua pengawal keselamatan sebelum memasuki rumah mangsa.
“Penyerang turut memberi amaran agar dia hanya duduk di rumah dan jangan jadi ‘wira’,” tambah sumber berkenaan, lapor BH.
Kejadian itu disahkan Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar dan memaklumkan satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, pendakwa utama dalam kes Lim, Datuk Wan Shahruddin Wan Ladin berkata pihak pendakwaan akan membangkitkan isu itu apabila perbicaraan bersambung pada 19 Ogos.
Lim, yang juga penasihat DAP, sedang berdepan beberapa pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen berhubung Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.
Beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta suapan 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Lim turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017. – 6 Ogos, 2025
