KUALA LUMPUR – Mekanisme pemantauan serta audit ke atas hasil kutipan tambahan daripada pelarasan tarif air yang dijanjikan syarikat air negeri bagi tujuan pembaikan dan pembangunan infrastruktur bekalan air antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Pertanyaan itu dibangkitkan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen.
Mohd Isam juga ingin tahu tindakan dikenakan terhadap operator yang gagal memenuhi indeks prestasi utama (KPI) selepas menerima manfaat pelarasan tarif tersebut.
Menyusul, Lim Guan Eng (PH-Bagan) meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan langkah yang telah diambil kerajaan bagi mencapai hasil rundingan tarif sebanyak 19% serta konsesi yang ditawarkan oleh Malaysia kepada Amerika Syarikat.
Menteri Luar pula ditanya oleh Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berhubung langkah yang sedang diambil kerajaan untuk mendesak komuniti antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar menghentikan serangan berterusan rejim Zionis ke atas Gaza.
Pada sesi soal jawab lisan pula, Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) meminta Menteri Pengangkutan menyatakan usaha yang telah dan sedang diambil untuk memudahkan akses bagi Orang Kurang Upaya (OKU) dalam menggunakan pengangkutan awam seperti di Korea, yang meletakkan bahasa isyarat dan Braille dalam sistem pengumuman di stesen serta kenderaan pengangkutan massa.
Dalam pada itu, Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) bertanya kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai jumlah pekerja informal dalam sektor ekonomi penjagaan yang telah didaftarkan oleh kementerian serta dasar dan persediaan bagi menghadapi masyarakat yang semakin menua.
Usai sesi tersebut, Ahli-Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, membentangkan RMK13 dengan tema ‘Melakar Semula Pembangunan’ yang menggariskan perancangan strategik negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos 2025. – 7 Ogos, 2025
