HEADLINES

Ipoh Sentral, projek berorientasi TOD bakal pacu pertumbuhan dan transformasi bandar

Dengan tumpuan diberikan kepada kelestarian, kesalinghubungan dan pemeliharaan budaya, projek ini menyasarkan usaha memperkukuh kedudukan Ipoh sebagai sebuah bandar pintar yang rancak menjelang 2030

6:33 PM MYT

 

IPOH – Projek pembangunan Ipoh Sentral yang baru dilancarkan dan terletak secara strategik berhadapan Stesen Keretapi Ipoh yang bersejarah, dirasmikan hari ini dengan majlis pecah tanah disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama-sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Di bawah Agenda Pengangkutan Hijau Bandar Pintar Perak 2030, Ipoh Sentral disifatkan sebagai pemangkin transformasi Ipoh sebagai menjadi hab pengangkutan moden, mampan dan saling berhubung selain memelihara warisan budaya bandar serta memperkukuh ikatan komuniti.

Projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) ini akan mengintegrasikan perkhidmatan kereta api, bas, teksi, e-hailing, laluan pejalan kaki dan lorong berbasikal dalam sebuah kawasan pembangunan bandar bercampur yang rancak.

Ia direka untuk menggalakkan budaya berjalan kaki, mengurangkan kebergantungan terhadap kereta selain menyokong ekosistem mobiliti bersih dan rendah karbon.

Prinsip teras pelan induk Ipoh Sentral adalah komitmen untuk menghormati dan memperkasakan tempat-tempat ibadah sedia ada bagi masyarakat setempat.

Fasa 1 pembangunan akan merangkumi sebuah taman awam ikonik di Regat Tun Perak dengan pembinaan masjid baharu yang direka untuk serasi dengan landskap sekeliling serta mencerminkan warisan seni bina Perak dan semangat perpaduan dalam kepelbagaian.

Taman ini, yang dijangka siap dalam tahun ini, akan menjadi ruang komuniti untuk gaya hidup sihat, rekreasi dan interaksi masyarakat.

Meliputi keluasan keseluruhan 67 ekar dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM6.25 bilion, Ipoh Sentral akan dibangunkan dalam dua fasa.

Fasa 2 projek ini merangkumi pembangunan bercampur seperti pangsapuri servis, ruang pejabat, premis perniagaan, hotel serta kemudahan masyarakat tambahan.

Projek ini dijangka mewujudkan antara 8,000 hingga 9,000 pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan dan lebih 10,000 pekerjaan selepas siap kelak, sekali gus memacu peluang dalam sektor pembinaan, perkhidmatan, logistik dan perdagangan.

Sasaran jangka panjang termasuk meningkatkan daya tarikan pelancongan Perak yang sebelum ini mencatatkan jumlah 10.2 juta pelawat domestik dan pertumbuhan 12% ketibaan antarabangsa yang direkodkan pada 2024.

Dengan sambungan rel terus ke KL Sentral dan Penang Sentral serta kedudukan berhampiran Lebuhraya Utara–Selatan, Ipoh Sentral bakal menjadi pintu masuk utama rantau ini bagi pelancongan, perdagangan dan pertukaran budaya.

Pada 2024, KTM Bhd ETS (Perkhidmatan Tren Elektrik) telah membawa 4.13 juta penumpang, manakala laluan Komuter Utara Butterworth–Ipoh merekodkan peningkatan 29% dalam jumlah penumpang harian sejak pelancarannya pada September 2023, satu bukti jelas permintaan yang semakin meningkat untuk perjalanan antara bandar yang cekap.

Berbekalkan kejayaan KL Sentral sebagai model penciptaan peluang ekonomi, Ipoh Sentral dijangka menjadi kesinambungannya, memberikan manfaat serupa kepada rakyat Perak dan seterusnya. 

Ia akan menggalakkan golongan profesional yang bekerja di bandar seperti Pulau Pinang atau Kuala Lumpur untuk mempertimbangkan Ipoh sebagai tempat tinggal manakala mereka yang bekerja di Ipoh menetap di negeri lain.

Dengan rangkaian pengangkutan masa kini yang cekap dan saling berhubungan, kehidupan di satu negeri dan bekerja di negeri lain bukan lagi sesuatu yang sukar malah ia membolehkan kualiti hidup yang lebih baik sambil kekal dekat dengan hab ekonomi utama.

Ipoh Sentral Sdn. Bhd. ialah usaha sama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, menggabungkan Railway Assets Holding Sdn. Bhd. (RAH), milik penuh Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di bawah Kerajaan Persekutuan; Silver Smart Sdn. Bhd. (SSSB), anak syarikat Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI); dan Country Annexe Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

Berdasarkan kepakaran yang dibuktikan MRCB dalam pembangunan TOD seperti KL Sentral dan Penang Sentral, kerjasama ini bertujuan melaksanakan projek yang mengimbangkan infrastruktur moden dengan pemeliharaan warisan serta kesejahteraan komuniti.

Kelestarian akan diterapkan di setiap peringkat dengan pembinaan mesra alam, sistem tenaga cekap dan rendah karbon, penyelesaian mobiliti hijau dan kawasan awam berlandskap yang direka untuk membina komuniti yang boleh didiami, inklusif dan saling berhubung.

Ipoh Sentral dijangka menjadi model transformasi bandar yang inklusif, mampan dan menghormati budaya, sekali gus meletakkan Ipoh sebagai sebuah bandar pintar yang makmur menjelang tahun 2030. – 16 Ogos, 2025

Topics

 

Hangat

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Morocco wants KL court to declare cult leader Mawla Amin not Prophet’s descendant

Kingdom’s statement of claim says his activities in Malaysia have tarnished its image

Related