KUALA LUMPUR – Penyeludupan daging khinzir, status pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) serta peletakan jawatan doktor dan jururawat di fasiliti kesihatan awam antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.
Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen menyebut, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) pada sesi soal jawab lisan membangkitkan persoalan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai tindakan penguatkuasaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) terhadap penyeludupan haram daging khinzir yang berpotensi membawa wabak Streptococcus suis dan African Swine Fever.
Memetik laporan Bernama, Tze Tzin turut meminta penjelasan mengenai jumlah tangkapan yang telah dibuat ke atas aktiviti penyeludupan haram daging khinzir sepanjang tahun ini.
Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) pada sesi sama meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menjelaskan status kajian kebenaran aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) serta garis masa untuk kajian dimuktamadkan.
Selain itu, Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) bertanyakan soalan kepada Menteri Kerja Raya berkenaan status terkini dan garis masa secara terperinci setiap fasa pembinaan LPB, khususnya bagi jajaran WP01 (Sindumin-Melalia) dan WP02 (Melalia-Beaufort).
Sementara itu, Wong Shu Qi (PH-Kluang) pula meminta Menteri Kesihatan memperincikan jumlah doktor dan jururawat yang meletak jawatan serta jumlah pengambilan baharu bagi tempoh 2020 hingga 30 Jun 2025, selain langkah yang diambil untuk mengatasi masalah kekurangan kakitangan di hospital kerajaan.
Usai sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan penggulungan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh menteri-menteri berkaitan.
Setakat ini, sejumlah 161 Ahli Parlimen menyertai sesi perbahasan RMK13 yang berlangsung selama lapan hari bermula dari 4 Ogos lalu.
Bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ RMK13 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 31 Julai lalu, dengan peruntukan pelaburan RM611 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos. – 18 Ogos, 2025
